B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sabah mahu tingkatkan sumbangan KDNK sektor perkilangan kepada negeri, tiga kali ganda pada 2030

Sabah mahu tingkatkan sumbangan KDNK sektor perkilangan kepada negeri, tiga kali ganda pada 2030

20 Mei 2021

Kerajaan negeri Sabah berhasrat meningkatkan sumbangan sektor perkilangan kepada keluaran dalam negeri kasar (KDNK) negeri kepada kira-kira RM20 bilion menjelang 2030, menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah berkata, ketika ini sektor itu hanya menyumbang RM6.47 bilion terutamanya disebabkan kekurangan produk berproses hiliran yang sedia dieksport.

“Kementerian Pembangunan Perindustrian dalam misi untuk memberikan nafas baharu kepada sektor perkilangan negeri bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada belia, melibatkan pekerjaan berkemahiran rendah sehingga berkemahiran tinggi.

“Perusahaan kecil dan sederhana kami (PKS) akan ditempatkan sebagai pemangkin ekonomi negeri dan pendapatan rakyat. Saya yakin ini boleh dicapai dengan meningkatkan pengeluaran PKS melalui pendedahan dan penggunaan teknologi baharu untuk menjadikan mereka lebih kompetitif di pasaran antrabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucap tama pada webinar sehari bertajuk “Perindustrian Negeri: Penyelesaian Untuk Pengangguran Belia di Sabah,” hari ini.

Menurutnya kerajaan negeri menyokong sepenuhnya PKS dan membayangkan agar mereka lebih berkembang dan kukuh pada masa depan.

Sabah mencatatkan pengangguran sebanyak 5.8 peratus pada 2019, iaitu tertinggi di Malaysia.

Joachim berkata walaupun Malaysia telah menjalankan dasar intensif perdagangan sejak kemerdekaan, perindustrian tidak memberikan kemajuan yang signifikan di Sabah dan sumbangan perkilangan atau perindustrian kepada KDNK negeri kekal rendah sepanjang bertahun-tahun.

“Sabah ketinggalan di belakang dan untuk mengejar kemajuan, kita tidak boleh lagi mengikut fasa normal perindustrian. Kita perlukan jalan pintas yang bijak. Kita juga perlu bertanya kenapa kemajuan perindustrian yang seumpama itu tidak berlaku di Sabah,” katanya.

Menurut Joachim, terdapat beberapa pengajaran daripada revolusi perindustrian yang boleh membawa perubahan termasuk sokongan asas yang kukuh daripada kerajaan yang stabil dari segi pembiayaan, infrastruktur, dasar, peraturan, kemahiran, bakat dan teknologi, di samping galakan dan bimbingan kepada PKS tempatan.

Beliau berkata ini termasuk menuju ke arah perindustrian hijau yang mampan dan pembuatan pintar, serta konsensus dan kerjasama kukuh antara sektor kerajaan dan swasta, ahli akademik dan masyarakat sebagai penyokong kuat dan pengguna produk dan perkhidmatan perindustrian.

“Kita perlu lebih terbuka dan berinovasi untuk mewujudkan pembangunan dan kemakmuran masa depan. Kita memerlukan perindustrian pintar untuk memendekkan proses ini. Sehubungan itu, kita perlu merebut peluang dalam revolusi teknologi dan perindustrian,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon