B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


NEC bina Pusat Kecemerlangan Inovasi pertama Johor

NEC bina Pusat Kecemerlangan Inovasi pertama Johor

20 Mei 2021

NEC Corporation of Malaysia Sdn Bhd (NEC Malaysia) meneruskan komitmen menyokong ekonomi digital negara dengan menubuhkan Pusat Kecemerlangan Inovasi (CoE) pertamanya di negara ini di Menara Sunway Big Box Office, Johor.

Pusat perhubungan baharu bagi NEC Malaysia itu dijangka memulakan operasi bagi pelanggan di Asia Tenggara mulai Januari 2023.

Ketika ini, CoE NEC beroperasi sementara di Sunway Citrine Hub di Sunway City Iskandar Puteri, sebelum berpindah awal 2023.

Pengarah Urusan NEC Malaysia, Chong Kai Wooi, berkata sebagai bandar yang berkembang pesat, Sunway City Iskandar Puteri menjadi lokasi ideal untuk syarikat itu memperluaskan penyelesaian bandar pintar dan mencapai pembangunan lestari di Malaysia dan rantau ASEAN.

Katanya, CoE baharu di Menara Sunway Big Box Office dijangka memberi tumpuan kepada perkhidmatan pengurusan dan penyelesaian bandar pintar, selain membantu membangun serta melengkapkan bakat tempatan dengan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam norma baharu.

“Kami berharap dapat mengembangkan teknologi dan perkhidmatan teras digital inovatif yang memberikan nilai sosial yang lebih besar untuk masa depan yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Terletak di taman peruncitan format besar pertama Sunway, NEC Malaysia akan menggunakan keseluruhan tingkat dua daripada 12 tingkat menara pejabat membabitkan keluasan lantai kasar 20,474 kaki persegi.

Menara Sunway Big Box Office dijangka siap sepenuhnya menjelang suku kedua tahun depan dan membolehkan CoE NEC beroperasi awal 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway City Iskandar Puteri, Gerard Soosay, berkata perjanjian penyewaan antara pemaju dan NEC Malaysia bakal mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia khususnya dalam kawasan perbandaran bersepadu itu, seterusnya menyumbang terhadap pertumbuhan ekonomi.

“Kami gembira kerana NEC Malaysia memilih Menara Sunway Big Box Office sebagai lokasi pilihan untuk menubuhkan pusat perhubungan serantau pertama di Malaysia.

“Dengan peluasan operasi NEC Malaysia ke Johor, kami yakin mereka akan dapat menjangkaui pelanggan di rantau Asia Tenggara dan memberikan perkhidmatan lebih cekap kepada pelanggan,” katanya.

Gerard berkata, Sunway City Iskandar Puteri yakin Menara Big Box Office dapat meningkatkan reputasinya tidak hanya sebagai perbandaran untuk didiami, malah bandar yang menawarkan potensi untuk berkembang dengan kukuh menerusi langkah penempatan operasi organisasi tempatan dan antarabangsa.

“Sebagai bandar bersepadu dan lestari, kami akan memenuhi keperluan pelanggan termasuk menyediakan keseimbangan antara kerja dan kehidupan,” katanya. Pada 2018, Sunway City Iskandar Puteri memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan NEC Asia Pacific Ltd bagi meningkatkan keselamatan perbandaran termasuk menggunakan analisis video dan biometrik.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon