B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pelaburan diluluskan Malaysia dijangka melonjak kepada RM185 bilion

Pelaburan diluluskan Malaysia dijangka melonjak kepada RM185 bilion

19 Mei 2021

UOB Malaysia mengunjurkan pelaburan yang diluluskan di Malaysia melonjak kepada RM185 bilion tahun ini, di tengah-tengah kebanyakan perniagaan dan rantaian bekalan di seluruh dunia masih berdepan dengan kesan pandemik COVID-19.

Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perbankan Borongnya, Ng Wei Wei, berkata jangkaan itu adalah 13 peratus lebih tinggi berbanding RM164 bilion yang diraih tahun lalu dengan hampir 40 peratus dijangka disumbangkan oleh pelaburan langsung asing (FDI).

“China, Eropah dan Amerika Syarikat (AS) dijangka kekal sebagai antara sumber utama FDI, di mana kebanyakan daripada modal akan disalurkan ke sektor nilai tambah tinggi, termasuk elektrik dan elektronik (E&E), kimia, pembuatan dan perindustrian.

“Malaysia berupaya menarik syarikat dari seluruh dunia berkembang ke Asia Tenggara. Kami yakin bahawa potensi ekonomi Malaysia yang pelbagai, asas yang teguh, dasar akomodatif dan demografi yang baik akan terus menarik minat syarikat asing yang ingin berkembang ke rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Meskipun menghadapi persekitaran ekonomi global yang mencabar tahun lalu akibat COVID-19, Malaysia mencatat jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM164 bilion, di mana RM64.2 bilion adalah dari sumber FDI.

China menjadi sumber FDI utama Malaysia dengan RM18.1 bilion atau bersamaan dengan 28.2 peratus.

Penyumbang lain termasuk Singapura dengan FDI sebanyak RM10 bilion, Belanda dengan RM7.0 bilion, dan AS dengan RM4.3 bilion .

Pada 2020, UOB Malaysia berjaya memudahkan aliran masuk FDI dari China dengan peningkatan hampir 20 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ia juga menyokong aliran mantap pelaburan baharu dari syarikat Eropah, terutamanya dari Perancis, Jerman dan United Kingdom, yang meningkat hampir 10 peratus setiap tahun.

Mengulas lanjut, Wei Wei, berkata dalam mengikuti trend FDI yang menggalakkan itu, UOB Malaysia bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk memudahkan pelaburan masuk daripada beberapa syarikat utama sektor nilai tambah tinggi dari China dan Eropah seperti E&E, kimia, pembuatan dan perindustrian.

“Kami yakin bahawa pengaturan semula rantaian bekalan ke ASEAN akibat ketidaktentuan geopolitik, termasuk ketegangan perdagangan AS-China, akan terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan dalam sektor utama seperti perindustrian, barangan pengguna serta telekomunikasi, media dan teknologi.

“Jangkaan pertumbuhan juga disokong oleh pelancaran rangkaian 5G global yang akan merangsangkan sektor E&E dan pembuatan elektronik selain mempertingkat infrastruktur digital negara,” katanya.

Beliau menjelaskan, UOB Malaysia juga melihat minat yang semakin meningkat dalam projek berkaitan tenaga boleh diperbaharui (RE), seperti tenaga solar, berikutan usaha kerajaan dalam menggalakkan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus di negara ini.

“Apabila negara beralih ke RE dan meningkatkan infrastrukturnya dengan sumber tenaga yang lebih bersih, ia akan menarik lebih banyak pelaburan daripada syarikat multinasional yang ingin mengembangkan operasi mereka dengan cara yang mampan,” katanya.

Berikutan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) dengan MIDA pada 10 Januari 2020, UOB Malaysia telah bekerjasama dengan MIDA untuk membantu syarikat dari Greater China, Eropah dan di Asia Tenggara berkembang dan melabur di Malaysia dan di seluruh rantau ini.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, perbincangan meja bulat secara maya telah diadakan dengan delegasi perniagaan dari Jerman dan China masing-masing pada 15 dan 28 April 2021.

Menerusi perbincangan itu, peserta dimaklumkan mengenai perkembangan terkini ekonomi, dasar dan peluang pelaburan yang berpotensi di Malaysia pasca pandemik.

Sejak 2013, Unit Penasihat FDI UOB telah membantu lebih 500 syarikat asing menubuhkan atau mengembangkan operasi mereka di Malaysia, selain membantu syarikat tempatan berkembang ke seluruh ASEAN.

Bantuan berkenaan membolehkan syarikat berkaitan membangunkan strategi kemasukan pasaran dan menangani kerumitan menjalankan perniagaan di sebuah negara baru, selain memberikan akses kepada produk dan perkhidmatan kewangan UOB.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon