B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia, China bincang penerokaan bidang baharu untuk kukuhkan kerjasama bilateral – Muhyiddin

Malaysia, China bincang penerokaan bidang baharu untuk kukuhkan kerjasama bilateral – Muhyiddin

21 Mei 2021

Malaysia dan China mengadakan perbincangan mengenai usaha memperkukuh kerjasama dua hala menerusi penerokaan bidang-bidang baharu untuk kepentingan bersama, selain kerjasama sedia ada dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang mengadakan perbincangan bersama Perdana Menteri China Li Keqiang menerusi persidangan video pagi tadi memaklumkan kerjasama itu termasuk dalam aspek penghasilan vaksin COVID-19 secara “fill and finish”  di Malaysia dan kerjasama dalam bidang perdagangan elektronik, teknologi tinggi serta ekonomi digital.

Selain itu, kerjasama lain ialah dalam bidang pertanian dan agromakanan, pembangunan keselamatan makanan serta program pembasmian kemiskinan, katanya.

“Kerajaan China telah memberikan respons yang amat positif supaya cadangan-cadangan kerjasama ini dibincangkan dengan lebih terperinci di peringkat kementerian-kementerian yang berkaitan.

Kami berdua sepakat bahawa hubungan dua hala Malaysia-China terus berkembang positif dan erat meskipun berdepan cabaran getir kesan daripada penularan wabak COVID-19,” katanya menerusi catatan di akaun Facebooknya hari ini.

Berhubung COVID-19, Muhyiddin  berkata kedua-dua pemimpin sepakat mengenai kepentingan jalinan kerjasama yang lebih erat dan proaktif antara kedua-dua negara bagi mengatasi wabak tersebut seterusnya memacu proses pemulihan antaranya kolaborasi berterusan dalam bidang yang telah dipersetujui sebelum ini

seperti pembekalan vaksin, keselamatan makanan serta rantaian bekalan yang terjamin.

Beliau turut merakam penghargaan kepada Kerajaan China yang menjadi negara pertama menghulurkan bantuan kepada Malaysia di peringkat awal penularan pandemik COVID-19 yang membuktikan keakraban hubungan dua hala antara Malaysia dan China.

Dalam aspek ekonomi dan perdagangan, kedua-dua pemimpin itu bersetuju bahawa komuniti perniagaan serta para pelabur di Malaysia dan China perlu terus meningkatkan lagi jalinan hubungan ekonomi dengan memanfaatkan peluang-peluang yang ditawarkan oleh kedua-dua negara yang terhasil daripada polisi mesra perniagaan serta persekitaran yang kondusif dan menguntungkan.

Pada perbincangan julung kali itu, Muhyiddin dan Li turut menyentuh mengenai isu-isu antarabangsa melibatkan situasi di Palestin dan Myanmar.

“Kami berdua bersetuju bahawa situasi yang memberi kesan kepada rakyat kedua-dua buah negara tersebut dan rantau sekelilingnya memerlukan desakan segera daripada semua komuniti antarabangsa agar dihenti dan diselesaikan segera. Dalam hal ini, saya turut memaklumkan langkah-langkah yang telah diambil oleh Malaysia dan negara lain di platform antarabangsa,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon