RM72 bilion bakal dilabur dalam Bandar Perindustrian Maritim Lumut - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


RM72 bilion bakal dilabur dalam Bandar Perindustrian Maritim Lumut

RM72 bilion bakal dilabur dalam Bandar Perindustrian Maritim Lumut

11 Okt 2022

Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) bekerjasama dengan Port of Antwerp-Bruges International (PoABI) untuk membangunkan sebuah Kluster Perindustrian Maritim Bersepadu di Manjung.

Melalui kerjasama itu, dianggarkan RM72 bilion bakal dilaburkan dalam Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) untuk tempoh 25 tahun akan datang, menurut PKNP dalam kenyataan hari ini.

LuMIC akan memberi tumpuan kepada industri dalam sektor maritim dan logistik serta industri yang terbabit secara langsung dalam laluan perdagangan antarabangsa.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak, berkata sebagai perbadanan pembangunan ekonomi negeri, usaha ini adalah sebahagian daripada pelan strategiknya untuk menjadikan Lumut sebagai sebuah bandar yang moden dan lestari.

“LuMIC bakal menjadi tonggak pertumbuhan Perak dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), yang dipacu oleh penyertaan sektor swasta menerusi pelaburan langsung asing dan tempatan, insentif zon ekonomi khas dan kerjasama rapat antara industri dan akademia.

“Memanfaatkan sumber mineral yang besar di Perak dan aktiviti ekonomi semasa di Lumut, pelbagai kemudahan berkaitan maritim akan dibangunkan lagi di LuMIC mengikut keperluan pelabur atau vendor yang berminat seperti kompleks perindustrian, kemudahan gudang dan terminal maritim,” katanya.

Redza Rafiq berkata, antara cadangan bagi LuMIC untuk masa terdekat ialah penubuhan kemudahan terminal serba guna untuk memenuhi keperluan industri di hab ini dan seluruh Perak, di samping menjadi pintu masuk ke rantau Asia.

Di samping itu, LuMIC turut dijangka akan membawa impak positif terhadap ekonomi kawasan dan komuniti sekelilingnya, selain membuka lebih 51,000 peluang pekerjaan bagi kategori pekerja mahir serta pekerjaan yang bernilai tinggi dan mengukuhkan sektor lain seperti hartanah, infrastruktur dan pelancongan.

“Pembangunan, operasi dan tadbir urus LuMIC akan dikendalikan oleh sebuah lembaga pembangunan negeri di bawah PKNP untuk menjamin operasi yang lancar,” kata Redza.

PoABI adalah anak syarikat Port of Antwerp-Bruges iaitu sebuah gerbang perindustrian dan logistik yang terkemuka di Eropah.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon