B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Swift Bridge lancar pusat kecemerlangan dengan nilai pelaburan RM10 juta

Swift Bridge lancar pusat kecemerlangan dengan nilai pelaburan RM10 juta

11 Okt 2022

Swift Bridge Technologies (M) Sdn Bhd melancarkan pusat kecemerlangan (CoE) dengan jumlah pelaburan sebanyak RM10 juta bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-10 syarikat itu pada tahun ini.

Syarikat berpangkalan di Malaysia itu menumpukan kepada aktiviti mereka bentuk, membangun dan mengeluarkan penyelesaian ujian sepaksi frekuensi radio jituan tinggi (RF) dan abah-abah wayar automotif kenderaan elektrik (EV).

Swift Bridge dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata kemudahan seluas 10,000 kaki persegi di Pulau Pinang itu dilengkapi dengan kemudahan mereka bentuk, penyelidikan dan makmal ujian dan disertakan dengan mesin ujian penganalisis rangkaian vektor 125-gigahertz yang baharu bagi aktiviti reka bentuk dan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“CoE baharu itu juga disasarkan untuk membantu mengembangkan perniagaan sedia ada syarikat ke pasaran baharu yang berpotensi seperti Jerman dan dijangka melantik tambahan 20 jurutera RF dalam negeri.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, yang merasmikan CoE itu berkata kerajaan negeri akan terus memainkan peranan untuk memperkasakan pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi pelbagai inisiatif seperti SME Village, Smart Centre, Seed Capital Fund, dan kempen Penang SME Go Digital.

“Aktiviti seumpama itu bakal melonjakkan PKS seperti Swift Bridge ke tahap yang lebih tinggi selain membantu merangsang pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang, sejajar dengan wawasan ‘Penang2030’ untuk menjadikan negeri ini ‘Negeri Hijau dan Pintar Berfokus Keluarga yang memberi inspirasi kepada Negara’,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Arham Abdul Rahman berkata pengembangan aktiviti Swift Bridge daripada pembuatan kepada CoE mencerminkan keupayaan syarikat Malaysia ke arah menghasilkan tokokan nilai tinggi dan produk kompleks.

Beliau berkata ketika syarikat itu sedang menuju ke arah ekosistem perindustrian yang lebih meluas, syarikat tempatan lain digalakkan untuk memanfaatkan kepakaran Swift Bridge menerusi pindahan pengetahuan dan teknologi yang seterusnya akan membantu membangunkan tenaga kerja untuk memenuhi permintaan pasaran dan menyumbang kepada kebolehpasaran di negara ini.

“Pembukaan CoE ini bukan sahaja penting kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia tetapi juga merangsang inovasi dan meningkatkan produktiviti dalam pembangunan teknologi canggih negara dalam industri RF.

“Ia seterusnya mengesahkan lagi keupayaan syarikat tempatan Malaysia dan tenaga kerja dalam aktiviti reka bentuk, pembangunan dan penyelidikan selain juga selari dengan agenda pelaburan mampan negara dengan menumpukan kepada memperkukuh penyelidikan dan pembangunannya yang merupakan bahagian penting dalam keseluruhan strategi pembangunan Malaysia,” katanya.

Pada pelancaran tersebut, Swift Bridge juga bertukar-tukar memorandum perjanjian dengan Angkasa-X Innovation Sdn Bhd dan Eclimo Sdn Bhd.

Menurut kenyataan itu, perkongsian itu dijangka berpotensi menjana hasil sebanyak RM25 juta kepada syarikat itu dalam tempoh lima tahun akan datang

Menurut syarikat itu pelan strategik menumpukan kepada penyelidikan dan pembangunan juga membolehkan ia menambah baik kemampanan operasi perniagaannya dalam tempoh jangka panjang.

“Swift Bridge akan terus menyediakan penyelesaian lengkap daripada konsep hingga kepada pengeluaran, kepada pelanggan.

“Ini termasuk pemasangan yang disesuaikan yang menyokong ujian dan pengukuran, automotif, tenaga dan automasi perindustrian, dan merentasi industri elektrik dan elektronik di negara-negara seperti Amerika Syarikat, Kanada, India dan negara-negara Asia Tenggara,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon