RM1.6 bilion naik taraf infrastruktur internet di Kedah
23 Apr 2022
Sebanyak RM1.6 bilion diperuntukan untuk menaik taraf kemudahan dan infrastruktur internet di Kedah meliputi pelbagai skop di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, pembangunan itu sedang dilaksanakan dan berlanjutan sehingga tahun 2025.
Menurutnya, antara yang dilakukan termasuk membina sejumlah menara baharu yang dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.
“Skop yang pertama melibatkan pembinaan menara baharu untuk melengkapkan migrasi rangkaian daripada 3G ke 4G. Untuk melengkapkan kemudahan ini, keperluan menara baharu adalah kemestian.
“Projek ini sedang berjalan dengan 40 peratus telah siap manakala 60 peratus daripada menara itu dalam proses pelaksanaan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Iftar Bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia di sini pada Jumaat.
Annuar berharap pembinaan kesemua menara terbabit dapat disiapkan sebelum akhir tahun ini.
“Sejumlah menara pemancar di Kedah juga perlu dinaik taraf dan pelaksanaannya sedang dilakukan bagi membolehkan perkhidmatan rangkaian 4G disediakan,” katanya.
Menurutnya, selain itu pemasangan kemudahan gentian optik di premis, kediaman dan sekolah sedang giat dilakukan di bawah fasa satu JENDELA.
“Banyak kawasan dan sekolah di luar bandar di Kedah tidak mempunyai rangkaian gentian optik. Pada peringkat awal dulu kerajaan pernah bekalkan internet ke sekolah dengan menggunakan kemudahan tanpa wayar namun projek itu sudah terhenti.
“Sekarang kita fikirkan sekolah perlu disediakan dengan jaringan gentian optik titik kehadiran (POP). Lebih 300 sekolah di luar bandar di negeri ini sudah dikenal pasti dan tender telah dikeluarkan, sekarang sedang dibuat penilaian dan kita belum lantik kontraktor,” katanya.
Annuar memberitahu, skop lain yang akan dibangunkan di negeri ini ialah melengkapkan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) dengan kemudahan yang diperlukan.
“Walaupun semua kemudahan atau infrastruktur internet siap, bukan bermakna pembangunannya sudah lengkap kerana masih ada aspek perlu dibangunkan terutama membabitkan penggunaan teknologi terkini.
“Buat masa ini, ada beberapa teknologi terkini yang sedang kita buat penilaian khususnya untuk kawasan terpencil. Sekarang kita gunakan konsep satelit tetapi kini sudah ada teknologi lebih maju yang juga menggunakan satelit atau dirujuk sebagai satelit orbit rendah bumi yang sedang kita teliti,” ujarnya.
Menurutnya lagi, setakat ini perkembangan pembangunan JENDELA adalah mengikut jadual yang ditetapkan.
“Itu semua adalah skop yang terkandung bawah peruntukan RM1.6 bilion itu, kita harap ia dapat berjalan mengikut perancangan kerana pada awal 2023 kita berhasrat untuk teruskan JENDELA fasa dua sehingga 2025,” katanya.
Sumber: Sinar Harian