B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Regim cukai Malaysia perlu seiring dengan situasi semasa, mampan pascapandemik

Regim cukai Malaysia perlu seiring dengan situasi semasa, mampan pascapandemik

27 Apr 2022

Regim cukai Malaysia perlu seiring dengan situasi semasa dan terus mampan untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan domestik baharu ke dalam negara berikutan perubahan landskap pelaburan akibat pandemik COVID-19.

Pelonggaran sekatan pergerakan dan penurunan kes harian kira-kira 2,000 merupakan petanda pemulihan bagi ekonomi Malaysia, dengan lebih banyak perniagaan beroperasi semula sekali gus, langkah menyediakan insentif cukai yang mampan dan bersifat semasa pasti akan meredakan kebimbangan dalam kalangan pelabur asing.

Ketua Cukai, Ernst & Young (EY) Malaysia, Farah Rosley berkata Malaysia mungkin tidak mahu bersaing secara langsung dengan negara jiran, namun perlu mengambil kira daya tarikan yang dimiliki Malaysia sebagai sebuah negara dan jenis pelabur yang dicari.

“Pastinya, memberi insentif kepada pelabur melalui insentif cukai akan menunjukkan kita sebagai penenang kepada mereka,” katanya dalam temu bual bersama Bernama baru-baru ini.

Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan bernilai RM306.5 bilion dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama pada 2021 — nilai pelaburan diluluskan tertinggi sejak 2006, menurut data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Jumlah FDI dan pelaburan langsung domestik (DDI) melebihi jangkaan dan mencapai prestasi cemerlang pada 2021, meningkat kepada 83.1 peratus daripada angka pada 2020.

Farah, yang juga Presiden Institut Cukai Berkanun Malaysia, berkata Malaysia juga mesti memastikan regim cukainya berdaya saing selain terus membangunkan dan menambah baik dasar untuk menggalakkan FDI dan domestik baharu ke dalam negara, di samping mengekalkan pelaburan sedia ada.

Beliau berkata cukai tambahan yang dinaikkan perlu dikhususkan untuk bidang yang menambah baik aspek memudahkan menjalankan perniagaan selain mempertingkat ekosistem pelaburan negara.

“Situasi ekonomi dan keperluan di Malaysia adalah unik dan kita tidak seharusnya gagal dalam persaingan ini.

“Sebagai sebuah negara, kita perlu terus menyesuaikan dasar fiskal untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan menyokong perniagaan di samping memastikan objektif dasar awam tercapai,” katanya yang mempunyai pengalaman profesional dalam bidang percukaian selama lebih 20 tahun.

Beliau berkata untuk memastikan Malaysia memperoleh manfaat daripada pelaburan, pelabur yang diberikan insentif cukai perlu mematuhi pelbagai syarat yang ditetapkan kerajaan.

“Ini lazimnya akan termasuk pelaburan minimum, tahap pekerjaan, keperluan untuk melaksanakan aktiviti seperti penyelidikan dan pembangunan, serta pembangunan vendor tempatan,” katanya.

Farah berkata kadar cukai pendapatan korporat Malaysia secara amnya adalah pada 24 peratus.

Ketika ditanya bagaimana Malaysia akan meraih manfaat daripada cukai minimum global untuk memastikan perusahaan multinasional tertakluk kepada kadar cukai 15 peratus minimum mulai 2023, beliau berkata pelaksanaan cukai minimum global seharusnya secara teori meningkatkan kutipan cukai Malaysia.

Cukai minimum global, didorong oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), secara amnya akan ditetapkan pada 15 peratus bagi semua kumpulan multinasional yang merekodkan perolehan melebihi €750 juta setahun.

Cukai minimum itu bertujuan memastikan syarikat-syarikat membayar nilai cukai yang saksama, mengurangkan trend kumpulan syarikat besar mengalihkan aktiviti dan keuntungan kepada sektor yang berada di bawah bidang kuasa cukai rendah, dan meredakan tekanan ke atas kerajaan bagi mengurangkan kadar cukai untuk menarik pelaburan.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X