B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Ekonomi Malaysia beri petunjuk prospek positif

Ekonomi Malaysia beri petunjuk prospek positif

27 Apr 2022

Petunjuk bagi tiga bulan pertama 2022 menunjukkan prospek ekonomi Malaysia yang positif dalam masa terdekat dengan mobiliti yang tinggi dijangka berlaku susulan pembukaan sempadan antarabangsa, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata selain itu, pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baru-baru ini dijangka meningkatkan permintaan barangan dan perkhidmatan yang seterusnya akan merangsang ekonomi.

“Namun begitu, senario global yang berterusan akan meningkatkan harga komoditi yang mendorong kepada jangkaan inflasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jumlah perdagangan negara mengekalkan prestasi kukuhnya dengan mencatatkan pertumbuhan 17.5 peratus, mencecah RM184.8 bilion daripada RM157.3 bilion pada Februari 2021.

Kedua-dua eksport dan import masing-masing melonjak kepada 16.8 peratus dan 18.4 peratus tahun ke tahun dengan merekodkan RM102.3 bilion dan RM82.5 bilion, menyumbang kepada lebihan dagangan yang melebar sebanyak 10.7 peratus.

Sementara itu, jumlah perdagangan Malaysia mengekalkan momentum dua angka pada Mac 2022, berkembang 27.3 peratus.

Eksport meningkat 25.4 peratus, import tumbuh 29.9 peratus dan imbangan perdagangan kekal dalam lebihan, naik 10.3 peratus.

Mengenai prestasi sektoral, Mohd Uzir berkata, berikutan peningkatan dalam indeks pembuatan (5.2 peratus) dan indeks elektrik (3.9 peratus), Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 3.9 peratus pada Februari 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Sementara itu, nilai jualan pembuatan Malaysia pada Februari 2022 berjumlah RM131.6 bilion, mengukuh 11.2 peratus berbanding tahun lalu.

Menyentuh senario buruh negara pula, beliau berkata, kerancakan semula aktiviti ekonomi dan sosial yang berterusan mendorong kepada pemulihan perniagaan dan kebangkitan semula sektor pelancongan domestik yang banyak membawa manfaat kepada situasi buruh Malaysia.

Bilangan penduduk bekerja pada Februari 2022 meningkat 3.0 peratus kepada 15.73 juta orang.

Justeru, nisbah guna tenaga kepada penduduk meningkat sebanyak 1.1 mata peratus kepada 66.3 peratus pada Februari 2022, iaitu lebih tinggi daripada Februari tahun lalu iaitu 65.2 peratus.

“Sementara itu, kadar pengangguran bertambah baik berbanding bulan sebelum dengan merekodkan 4.1 peratus,” tambah Mohd Uzir.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X