B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia sasar jadi hab perkilangan vaksin global

Malaysia sasar jadi hab perkilangan vaksin global

27 Apr 2022

Dengan peningkatan permintaan vaksin di seluruh dunia, prospek Malaysia sebagai hab perkilangan vaksin kelihatan cerah memandangkan negara berhasrat untuk terus menyumbang kepada usaha pembuatan vaksin di peringkat global.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Arham Abdul Rahman, kerajaan telah mengumumkan insentif baharu melalui Belanjawan 2021 bagi menarik pelaburan dalam sektor perkilangan produk farmaseutikal seperti kadar cukai keutamaan sebanyak 0% sehingga 10% bagi 10 tahun pertama, diikuti dengan kadar 10% untuk 10 tahun berikutnya.

Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Malaysia juga menawarkan insentif khas penempatan semula khas ‘Special Relocation Incentive’ sehingga Disember 2022 bagi pelaburan baharu dalam sektor perkilangan, termasuk industri farmaseutikal.

“Oleh kerana kekurangan pengeluaran vaksin untuk manusia, kerajaan telah mentauliahkan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (NVDR) yang menyasarkan Malaysia sebagai pengeluar vaksin untuk manusia dalam tempoh 10 tahun akan datang, dengan ekosistem penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta perkilangan vaksin tempatan yang lengkap,” kata Arham.

Sehingga kini, sembilan buah syarikat menerima kelulusan lesen pengilang di Malaysia yang menyediakan banyak peluang kepada syarikat lain untuk mengambil bahagian dalam rantaian bekalan vaksin, terutamanya bagi pengeluaran dan R&D vaksin tempatan.

“Malaysia telah menyaksikan pertumbuhan ketara dalam bidang R&D yang terbukti dengan penggunaan teknologi mRNA revolusioner terkini. Malaysia juga adalah negara pertama, selain China yang menjalankan ujian klinikal untuk vaksin Covid-19 yang tidak aktif,” kata Arham.

Pengilang farmaseutikal di Malaysia dipantau rapi dan perlu mematuhi standard yang telah ditetapkan selaras dengan pensijilan Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan Amalan Klinikal Baik (GCP).

Malaysia juga adalah ahli Skim Kerjasama Pemeriksaan Farmaseutikal (PIC/S), iaitu satu bentuk kerjasama yang tidak terikat dan tidak formal antara pihak berkuasa kawal selia dalam bidang GMP produk perubatan bagi kegunaan manusia atau veterinar.

Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Institut Kesihatan Negara (NIH) di bawah seliaan Kementerian Kesihatan (KKM) sedang membangunkan vaksin Covid-19 menggunakan virus tidak aktif dan mRNA, yang memperlihatkan kemuncak keupayaan penyelidikan vaksin tempatan.

Malaysian Vaccines and Pharmaceuticals (MVP) juga sedang giat menghasilkan vaksin untuk haiwan dan Pharmaniaga LifeScience kini menjalankan aktiviti “fill-and-finish” bagi vaksin Covid-19 Sinovac, manakala Solution Biologic kini dalam perancangan untuk menghasilkan vaksin Covid-19 CanSinoBio.

Arham juga berkata, terdapat lonjakan permintaan bagi produk farmaseutikal halal di pasaran global, yang boleh dimanfaatkan oleh Malaysia.

“Sebagai peneraju dalam pasaran ubat-ubatan halal dan industri farmaseutikal halal global, Malaysia boleh memanfaatkan kelebihan sedia ada. Diterajui oleh kerajaan, standard farmaseutikal halal negara telah disemak semula baru-baru ini manakala standard halal untuk peranti perubatan juga telah dikeluarkan,” katanya.

Sumber: Free Malaysia Today

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X