B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kilang pemprosesan gelas silika pertama di Perak beroperasi tahun depan – MB

Kilang pemprosesan gelas silika pertama di Perak beroperasi tahun depan – MB

27 Apr 2022

Kilang pemprosesan gelas daripada silika yang pertama di Perak akan memulakan operasinya di Silver Valley Technology Park (SVTP), kawasan Perindustrian Kanthan di Mukim Hulu Kinta di sini pada tahun depan.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pelaburan awal bernilai RM100 juta dijangka dilaburkan bagi tujuan pengeluaran dan pemprosesan bahan mineral berasaskan silika atau kuarza tersebut.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan kerjasama antara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan Jinjing Silicon Technology Sdn Bhd bagi pembinaan kilang pemprosesan bahan mineral secara Built-To-Suit and Lease (BTSL) di kawasan seluas lebih empat hektar itu, turut menjadi faktor pemangkin bagi pembangunan SVTP.

Menurutnya, berasaskan model perniagaan BTSL, pihak PKNPk akan membina bangunan untuk Jinjing Silicon Technology Sdn Bhd dengan pajakan selama 30 tahun.

“Ia bakal menarik banyak lagi pelaburan perusahaan berkaitan dengan silika atau kuarza dan menjadikannya kilang pertama dalam menerajui pembangunan di kawasan perindustrian Kanthan selain menawarkan kira-kira 500 peluang pekerjaan baharu kepada masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Asas BTSL antara PKNPk yang diwakili oleh Ketua Eksekutifnya Datuk Redza Rafiq Abdul Razak manakala Jinjing Silicon Technology Sdn Bhd diwakili oleh Pengarah Urusannya Cui Wenchuan.

Perjanjian terbabit juga bagi inisiatif pembangunan industri mineral negeri Perak melalui pemerkasaan aktiviti hiliran dan pembuatan.

Saarani berkata inisiatif pembangunan mineral oleh PKNPk itu juga selari dengan Kerangka Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2023 selain bertepatan dengan titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada 25 Ogos 2021 mengenai peranan PKNPk sebagai peneraju aktiviti pertengahan dan hiliran bagi industri mineral di negeri itu.

“Perjanjian ini juga dijangka dapat merangsang industri mineral di Perak yang boleh menjana peluang pekerjaan, perniagaan serta menambah hasil pendapatan untuk kerajaan negeri,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon