Pusat Pengalaman Pembuatan Pintar Sirim dilancar tahun ini - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pusat Pengalaman Pembuatan Pintar Sirim dilancar tahun ini

Pusat Pengalaman Pembuatan Pintar Sirim dilancar tahun ini

25 Jan 2022

SIRIM Bhd akan melancarkan Pusat Pengalaman Pembuatan Pintar (SMEC) pada pertengahan 2022 dalam usaha memperhebat penerimagunaan pendigitalan dalam sektor pembuatan.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata tumpuan utama pihaknya tahun ini adalah menggiatkan lagi usaha dalam pembangunan pembuatan pintar khususnya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Melalui pusat ini yang terletak di Bukit Jalil, kita akan melihat dari sudut ekosistem sektor pembuatan secara keseluruhan dalam usaha memastikan Malaysia berupaya maju ke arah transformasi digital serta Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

“SIRIM sentiasa melaksanakan peranan dalam menambah baik sektor pembuatan serta perkhidmatan. Matlamat kita adalah menjadi peneraju dalam teknologi terkedepan,” katanya dalam program Ruang Bicara bagi mengupas topik ‘Peranan SIRIM Dalam Mencapai Matlamat RMK12’ yang disiarkan saluran televisyen Bernama TV, malam tadi.

Beliau berkata Malaysia mempunyai pelbagai kepakaran dan keupayaan yang inklusif dalam memastikan rantaian bekalan dalam sektor pembuatan terjaga, dan penerimaan teknologi baharu di semua peringkat akan membantu memastikan ekonomi berkembang.

Ahmad Sabirin berkata SIRIM akan memperkenalkan 60 produk baharu yang dihasilkan oleh SIRIM QAS International Sdn Bhd serta inovasi yang dibangunkan oleh SIRIM Industrial Research pada tahun ini.

“Pada masa sama kita akan memperhebat usaha pendigitalan yang merupakan elemen penting dalam perkhidmatan dengan menerajui bidang Internet Pelbagai Benda (IoT), data raya dan ‘blockchain’,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon