B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


NCIA selaras pelaburan RM4.34 bilion ke Perak pada 2021

NCIA selaras pelaburan RM4.34 bilion ke Perak pada 2021

25 Jan 2022

Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) telah menyelaraskan pelaburan bernilai RM4.34 bilion ke Perak dan mewujudkan 7,122 peluang pekerjaan pada tahun lepas sekali gus terus memperkasakan pemulihan sosioekonomi negeri ini daripada impak pandemik COVID-19.

Ketua Eksekutif NCIA Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata kejayaan itu dicapai melalui pelaksanaan projek berimpak tinggi dan inisiatif pelaburan strategik yang telah membangunkan ekosistem infrastruktur yang kondusif untuk menggiatkan semula sektor pelancongan di Perak.

“NCIA telah melaksanakan projek dan inisiatif selaras dengan Pelan Pembangunan Strategik (SDP) Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) 2021-2025 untuk membantu proses pemulihan industri pelancongan tempatan yang telah terjejas akibat COVID-19.

“Projek-projek strategik dan berimpak tinggi yang dilaksanakan akan memberi limpahan ekonomi yang terhasil daripada peningkatan aktiviti perniagaan dan mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan keseluruhan ekosistem pelancongan tempatan yang akan memanfaatkan rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau berkata selaras dengan usaha kerajaan untuk mengurangkan impak COVID-19 dan mencapai Sifar Kemiskinan Tegar menjelang 2025, 150 peserta daripada program modal insan berteraskan rakyat NCIA seperti Kasih Ibu Darul Ridzuan (KIDR), empowerNCER dan entrepreneurNCER akan dapat memanfaatkan pelbagai peningkatan aktiviti dan projek ekonomi.

Selain itu Jebasingam berkata Program Intervensi Strategik (SIP) NCIA pula akan terus membantu penganggur, pekerja yang diberhentikan dan juga usahawan dalam pelbagai sektor termasuk pelancongan.

“Lebih 800 pekerja yang diberhentikan dalam sektor pembuatan dan lebih 80 pekerja dari sektorpelancongan telah mendapat manfaat daripada program ini di Perak,” katanya.

NCIA juga telah mempertingkatkan program JomKerja@NCER dan JomNiaga@NCER dengan melanjutkan insentif subsidi gaji daripada enam bulan kepada satu tahun untuk mengekalkan perniagaandan menyokong mereka dalam tempoh pemulihan.

Menurutnya setakat ini, Program Modal Insan NCER telah memberi manfaat yang ketara kepada 17,604 orang sejak 2019 hingga 2021 dan 12,983 bagi Januari hingga Disember 2021 pula di Perak selaras dengan Pelan Pemulihan Nasional.

Dalam pada itu, Projek Pelancongan Warisan Ipoh merupakan satu daripada inisiatif utama NCIA untuk menggiatkan semula sektor pelancongan negeri Perak yang kini berada di landasan yang kukuh untuk mencatatkan pemulihan tahun ini setelah mengalami peningkatan ketara ketibaan pelancong.

Tegasnya ini dapat dilihat dengan peningkatan 78 peratus tempahan hotel dan mencatatkan ketibaan pelawat domestik kedua tertinggi tahun lepas dengan 13.17 juta pelawat selepas pembukaan semula perjalanan domestik antara negeri.

Jebasingam turut mengumumkan tarikan baharu di Padang Ipoh yang akan dibuka kepada orang ramai tidak lama lagi iaitu sebahagian daripada Projek Pelancongan Warisan Ipoh.

“Ia akan merangkumi infrastruktur pertunjukan cahaya dan bunyi untuk memaparkan sejarah dan budaya Perak bersama destinasi pelancongan lain di negeri ini serta memoir kartunis terkenal dari Perak, Datuk Lat.

“Di bawah Fasa Dua Projek Pelancongan Warisan Ipoh, NCIA akan menaik taraf bangunan lama Dewan Perbandaran Ipoh menjadi Pusat Seni Kebudayaan dan Pejabat Pos Lama akan ditukar menjadi Galeri Seni Digital dan pembinaan dijangka bermula pada suku kedua 2022,” katanya.

NCIA juga bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Orang Asli (Jakoa) dalam memulakan sebuah projek pembangunan menyeluruh untuk komuniti Orang Asli di Lata Kinjang yang strategi pembangunan projek itu termasuklah pelaksanaan Program Modal Insan NCER untuk komuniti Lata Kinjang dan menaik taraf infrastruktur pelancongan di Taman Eko-Rimba Lata Kinjang.

Katanya Taman Eko-Rimba Lata Kinjang akan dikendalikan oleh Koperasi Orang Asli Lata Kinjang(KOALK) sebaik sahaja ia dibuka semula kepada orang ramai pada bulan depan sebagai usaha untuk meningkatkan penyertaan Orang Asli dalam aktiviti ekonomi tempatan dan kerja-kerja menaik taraf infrastruktur untuk Lata Kinjang Fasa 2 pula dijangka dimulakan pada Mac ini.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon