B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Dagangan China-Malaysia cecah RM739 bilion

Dagangan China-Malaysia cecah RM739 bilion

25 Jan 2022

Jumlah dagangan antara China dan Malaysia mencecah AS$176.8 bilion (RM739 bilion) pada 2021 dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 34.5 peratus di tengah-tengah usaha melawan COVID-19.

Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing, berkata projek utama seperti ‘Dua Negara, Taman Berkembar’ (Two Countries, Twin Parks) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) juga berjalan dengan lancar.

“Perdagangan dan pelaburan dua hala mengekalkan momentum yang baik. Adalah adil untuk mengatakan bahawa kerjasama mesra China-Malaysia menunjukkan contoh yang baik untuk kerjasama serantau,” katanya semasa majlis sambutan Tahun Baharu Cina 2022 yang dihoskan secara dalam talian oleh Kedutaan China di sini, Selasa.

Ouyang juga menyatakan harapan bahawa kerjasama antara Malaysia dan China akan meningkat ke tahap baharu manakala kerjasama antara kedua-dua negara akan terus diperkukuh dalam era pasca pandemik.

“Saya menantikan untuk melihat kedua-dua negara memperkukuh usaha sama antara strategi nasional, merebut peluang dalam era pasca pandemik, mengembang dan meningkatkan kerjasama perdagangan dan pelaburan, dan seterusnya membuka potensi penuh dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi digital, pembangunan hijau dan teknologi tinggi.

“Saya percaya ia menjadi dorongan yang kuat kepada pemulihan ekonomi kedua-dua negara, dan membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Beliau juga berharap, China dan Malaysia akan meningkatkan kerjasama dalam pemerolehan, penyelidikan dan pembangunan serta pengeluaran vaksin, supaya kedua-dua negara dapat membentuk perlindungan kesihatan terhadap sebarang krisis kesihatan awam pada masa hadapan.

Beliau berkata, meskipun kemunculan berterusan varian baharu meningkatkan kesukaran kepada perjuangan global menentang COVID-19, beliau percaya virus itu boleh diatasi.

“Saya yakin apabila vaksin dilancarkan di seluruh dunia, selagi kita memperkasakan diri dengan keyakinan yang teguh, semangat perpaduan dan dasar saintifik, kita akhirnya akan berjaya keluar dari fasa gelap pandemik dan berjaya mengatasinya,” katanya.

Ouyang berkata, China memenuhi komitmennya untuk menjadikan vaksin COVID-19 sebagai keperluan awam global.

Beliau berkata, sehingga kini, lebih 40 juta dos vaksin China sudah dihantar ke Malaysia untuk membantu usaha memerangi COVID-19.

Di peringkat global, China menyediakan lebih dua bilion dos vaksin kepada lebih 120 negara serta organisasi antarabangsa, menyumbang satu pertiga daripada jumlah keseluruhan vaksin yang diberikan di luar China.

Beliau berkata, China juga menyokong syarikat dari negara itu dalam memindahkan teknologi ke negara membangun lain dan membuat pengeluaran bersama dengan 20 negara.

Mengenai ASEAN, Ouyang berkata, China bersama-sama Malaysia dan negara-negara ASEAN lain akan berusaha ke arah kemakmuran bersama di rantau ini.

Beliau menyebut bahawa China dan ASEAN tahun lalu meningkatkan hubungan mereka kepada Perkongsian Strategik Komprehensif manakala Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) berkuat kuasa pada awal tahun ini.

“Kerjasama Asia Timur membawa ke peringkat baharu dengan peluang baharu. Saya berharap China, Malaysia dan negara-negara ASEAN yang lain akan menegakkan nilai-nilai perpaduan dan penyelarasan Asia, bekerjasama untuk keamanan, kestabilan, kemajuan dan pembangunan Asia-Pasifik.

“Mari kita mengucapkan selamat tinggal kepada masa lalu dan bekerjasama untuk masa depan yang dikongsi bersama,” katanya.

Pada 1 Februari tahun ini, masyarakat Cina di seluruh dunia akan menyambut Tahun Baharu Cina yang diwakili oleh tanda zodiak Harimau.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon