B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pulau Pinang sasar pelaburan pembuatan akan meningkat pada 2022

Pulau Pinang sasar pelaburan pembuatan akan meningkat pada 2022

18 Jun 2021

Pulau Pinang, yang merupakan hab pembuatan utama negara, dijangka menyaksikan peningkatan pelaburan ke dalam sektor pembuatan menjelang separuh kedua 2022 berikutan tahun penyatuan pada 2021.

Penasihat Pelaburan Khas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Datuk Seri Lee Kah Choon berkata jumlah pelaburan pembuatan yang diluluskan di Pulau Pinang masing-masing sebanyak RM14.1 bilion serta RM16.9 bilion pada 2019 dan 2020.

“Selepas dua tahun prestasi pelaburan yang cemerlang termasuk pencapaian tertinggi sepanjang masa pada 2019, 2021 disifatkan sebagai tahun penyatuan bagi industri pembuatan, yang konsisten dengan trend sejarah pelaburan Pulau Pinang.

“Walaupun berdepan dengan cabaran pandemik, sasaran Pulau Pinang untuk pelaburan pembuatan pada 2021 adalah RM5 bilion,” katanya semasa taklimat media dalam talian mengenai prospek pelaburan negeri itu.

Beliau berkata permintaan pelaburan dijangka melonjak sebaik sahaja pandemik COVID-19 menjadi lebih terkawal, dirangsang oleh pelancaran teknologi baharu seperti 5G, kecerdasan buatan dan automasi.

Tambahnya, apabila keadaan bertambah baik dan sempadan dibuka walaupun hanya sebahagian, komuniti pelaburan dijangka aktif.

Pada suku pertama tahun ini, Pulau Pinang mencatatkan sejumlah RM1.1 bilion dalam pelaburan pembuatan yang diluluskan.

Lee berkata daripada nilai keseluruhan semasa suku pertama, RM567 juta atau 52 peratus daripada jumlah pelaburan pembuatan yang diluluskan diperoleh daripada pelaburan langsung domestik dan baki RM516 juta (48 peratus) datang melalui pelaburan langsung asing.

Tiga industri pembuatan teratas bagi pelaburan yang diluluskan di Pulau Pinang pada suku tersebut adalah produk fabrikasi logam (RM433 juta), jentera dan peralatan (RM226 juta) serta elektrik dan elektronik (RM163 juta).

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon