Ekonomi global akan pulih pada separuh kedua 2021
19 Jun 2021
Pemulihan ekonomi untuk separuh kedua tahun ini dijangka kukuh merentasi pasaran-pasaran maju seperti yang ditunjukkan oleh Indeks Pengurus Pembelian (PMI) untuk bulan April 2021, kata seorang penganalisis.
Pengarah Urusan Affin Hwang Asset Management Bhd Datuk Teng Chee Wai berkata antaranya, pemulihan ini akan disokong oleh pemberian vaksin COVID-19, yang membolehkan ekonomi dibuka semula.
“Pasaran maju pula jauh ke hadapan dari segi pemberian vaksinasi kepada penduduknya, sementara pasaran pesat membangun masih lagi berusaha dengan pemberian yang agak perlahan dan ini akan menjejaskan pemulihan ekonomi,” katanya pada webinar Kajian dan Tinjauan Pasaran 2021 Affin Hwang AM di sini hari ini.
Sementara itu, Teng berkata Malaysia kekal sebagai pasaran pelaburan yang menarik dalam kalangan rakan setaranya di ASEAN terutama dalam sektor pembuatan.
Walaupun terdapat ketidakpastian yang berpanjangan dalam lingkungan ‘’kebisingan’’ geopolitik yang semakin meningkat, peluang pelaburan masih ada, tambahnya.
Teng menambah sektor pembuatan di negara ini berada di jalan pemulihan, didorong oleh peningkatan sederhana dalam perbelanjaan pengguna untuk kenderaan, elektronik isi rumah, perbelanjaan berterusan bagi barangan asas dan bahan binaan.
Pada 5 Mei, IHS Markit berkata sektor pembuatan Malaysia mencatat pertumbuhan memberangsangkan pada April 2021 dengan PMI meningkat melepasi paras neutral 50.0 untuk pertama kalinya dalam tempoh 10 bulan dan untuk kali kedua sejak September 2018.
Malaysia mencatatkan PMI 53.9 pada April, kadar pertumbuhan terpantas dalam sejarah sejak pertengahan 2012.
Mengenai prospek ringgit, Teng berkata unit tempatan dijangka ‘tersekat’ dalam jarak yang sempit di tengah kekurangan petunjuk baharu.
“Kebimbangan berterusan mengenai kesihatan ekonomi dan kebangkitan semula kes COVID-19 dijangka dapat merancakkan permintaan untuk dolar AS, justeru, melemahkan mata wang Asia yang lain termasuk ringgit,” katanya.
Ringgit cenderung mencecah 4.1750 berbanding dolar AS minggu depan terutamanya dipengaruhi oleh faktor luaran.
Sumber: Bernama