B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


KPower kuasai pasaran tenaga, solar global

KPower kuasai pasaran tenaga, solar global

20 Jun 2021

Kumpulan Powernet Bhd (KPower) berjaya berkembang di pasaran domestik dan global dalam masa yang singkat terutama sekali dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, kata Pengarah Urusan dan Timbalan Pengerusi Kumpulannya, Mustakim Mat Nun.

Menurutnya, syarikat berada di landasan yang betul dan disokong oleh prospek pertumbuhan yang cerah.

Sehingga kini, KPower memenangi beberapa projek besar dalam industri tenaga dan solar di pasaran antarabangsa.

“Setakat ini, kami berjaya meraih lebih 50 peratus kontrak melalui tender terbuka dengan nilai melebihi RM2 bilion daripada jumlah tender dibida yang bernilai lebih RM4 bilion.

“Jumlah tender yang dimenangi ini adalah daripada pasaran domestik dan antarabangsa iaitu Nepal, Indonesia serta Laos. Tender yang dibida turut membabitkan bidaan di Asia Barat sebagai strategi penembusan pasaran ke rantau berkenaan,” jelas Mustakim.

Dengan pertumbuhan yang memberangsangkan dan prospek yang cerah, KPower berjaya menarik minat pelabur melalui permintaan global bagi sektor tenaga boleh diperbaharui.

Walaupun pasaran dan ekonomi kini dalam keadaan yang tidak seimbang, KPower berjaya merangka semula perniagaannya dengan menceburi segmen perniagaan baharu untuk menjana aliran pendapatan yang mampan, selain memajukan perniagaan sedia ada.

Dalam masa hanya beberapa tahun, KPower berjaya mempelbagaikan aliran pendapatannya melalui empat segmen perniagaan utama iaitu tenaga dan utiliti, pembangunan hartanah, logistik serta industri kesihatan dan teknologi, katanya.

Kejayaan KPower disokong oleh barisan pengurusan profesional yang berpengalaman luas dalam pengurusan projek dan pelaksanaan, aktiviti pembinaan dan pelaburan terutama dalam sektor utiliti dan tenaga boleh diperbaharui.

KPower memulakan model pemilikan aset tunggalnya apabila disenarai pendek bagi projek Solar Berskala Besar keempat (LSS4) untuk pembangunan loji fotovolta solar (PV) 50MW di Pahang.

Kemenangan projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) sebanyak RM475 juta baru-baru ini adalah projek kuasa hidro pertama di Pahang bagi syarikat itu.

KPower turut memperoleh projek bernilai RM2.37 bilion di seluruh Malaysia, Laos, Indonesia dan Nepal sejak Jun 2019.

Melalui kejayaan ini, KPower mengukuhkan prestasi kewangannya melalui segmen perniagaan baharu.

Syarikat merekodkan peningkatan dalam perolehan sebanyak 334 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga tahun kewangan 2021 dengan keuntungan melonjak 432 peratus tahun ke tahun dalam tempoh yang sama.

Keputusan memberangsangkan ini didorong oleh aktiviti berkaitan pembinaan terutama tapak projek sedia ada, permulaan kerja-kerja di Indonesia dan sumbangan daripada projek-projek berdasarkan pesanan di Malaysia dan luar negara.

KPower sentiasa aktif meneroka dalam peluang perniagaan baharu melalui penggabungan dan pengambilalihan yang berpotensi untuk meningkatkan prospek perniagaan.

Daripada sasaran tempahan kontrak bernilai RM2 bilion untuk tahun kewangan 2021, projek bernilai RM1.158 bilion sudah dimenangi sehingga kini.

Setakat 20 Mei 2021, KPower merekodkan tempahan kontrak tertunggak sebanyak RM1.9 bilion.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon