B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Micron yakin prospek perniagaan di Malaysia

Micron yakin prospek perniagaan di Malaysia

20 Jun 2021

Micron Malaysia yang membuat pelaburan sehingga RM1.5 bilion dalam tempoh 10 tahun, amat yakin dengan prospek masa depannya di negara ini, dirangsang oleh gelombang positif sektor semikonduktor dan ekonomi digital.

Naib Presiden dan Pengurus Negara Micron Malaysia, Amarjit Singh Sandhu, berkata syarikat itu, sebuah entiti di bawah Micron Technology Inc yang tersenarai di Nasdaq, pertama kali mengumumkan rancangan pelaburannya di Pulau Pinang, khususnya di Batu Kawan pada 2018 dengan merancang menubuhkan Pusat Kecemerlangan (CoE) Micron untuk pemasangan dan ujian pemacu keadaan pepejal (SSD).

“Terdapat banyak aspek berbeza dalam ekonomi digital serta ada pelbagai aplikasi, baik 5G, pertumbuhan pusat data, permainan, peranti untuk pembelajaran dalam talian, e-dagang dan sebagainya. Kami mengambil bahagian dalam semua sektor yang berbeza ini.

“Semikonduktor sangat penting dari segi keperluan ekonomi digital dan hala tuju dunia. Justeru, kami sangat yakin dari segi potensi dan peluang pertumbuhan kami, khususnya dalam pasaran ini,” katanya kepada Bernama.

Mengulas mengenai operasinya di Pulau Pinang, beliau berkata operasi berjalan lancar walaupun dalam situasi pandemik COVID-19 dengan penyiapan bangunannya serta pengambilan lebih daripada 2,000 pekerja, malah turut berjaya membuat penghantaran produk kepada pengguna utama.

Amarjit berkata, Micron Technology pada umumnya fokus untuk mengembangkan perniagaan memori dan penyimpanan manakala Micron Malaysia pula berada dalam kedudukan baik untuk berkembang dengan kehadiran keseluruhan syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu dalam ruang semikonduktor.

“Sudah tentulah kami mempunyai rancangan pengembangan di sini dan ia sentiasa dikaji; tetapi pada ketika ini, kami sibuk mempersiapkan operasi dan sebaik sahaja rancangan itu sudah pasti, kami akan mengumumkannya.

“Melangkah ke hadapan, kami amat yakin dengan prospek di sini. Apabila keadaan pandemik bertambah baik dalam beberapa bulan mendatang, itu akan membantu kami mempercepatkan pertumbuhan operasi di Pulau Pinang,” jelasnya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon