B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Ipmuda beli ekuiti syarikat RE, penjagaan kesihatan pada RM192.4 juta

Ipmuda beli ekuiti syarikat RE, penjagaan kesihatan pada RM192.4 juta

18 Jun 2021

Ipmuda Bhd telah membeli ekuiti masing-masing dalam dua syarikat tenaga boleh diperbaharui (RE) dan satu pengendali penjagaan kesihatan dengan keseluruhan traksaksi berjumlah RM192.4 juta.

Kumpulan tersebut memeterai perjanjian induk bagi mengambil alih 70 peratus saham ekuiti dan 100 peratus saham utama boleh tebus Telekosang Hydro One Sdn Bhd dan Telekosang Hydro Two Sdn Bhd (secara kolektif dirujuk sebagai Telekosang) serta 100 peratus sukuk Hijau Junior Telekosang Hydro One ASEAN pada harga RM163.3 juta.

Ipmuda yang juga peniaga bahan keperluan binaan berkata, Telekosang kini dalam proses membangunkan loji jana kuasa hidro berkapasiti 40 megawatt (MW) di Tenom, Sabah yang akan menjadi kemudahan terbesar seumpamanya di Malaysia.

“Operasi komersial dijangka bermula pada akhir 2021 yang menyaksikan perjanjian pembelian tenaga selama 21 tahun dengan Sabah Electricity Sdn Bhd,” kata kumpulan itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Jumaat.

Ipmuda turut memeterai perjanjian induk bagi mengambil alih keseluruhan kepentingan ekuiti dalam bentuk saham biasa Jentayu Solar Sdn Bhd pada harga RM11.1 juta.

Jentayu Solar memiliki dan menguruskan loji jana kuasa solar berkapasiti 5.99 MW di Pokok Sena, Kedah dengan tempoh konsesi selama 21 tahun bermula Oktober 2019.

Selain itu, kumpulan itu mengukuhkan kedudukannya dalam sektor penjagaan kesihatan dengan memeterai perjanjian induk bagi mengambil alih 100 peratus ekuiti dalam Ultimate Forte Sdn Bhd yang mengendalikan Hospital Pakar Ohana di Seri Rampai, Kuala Lumpur, pada harga sehingga RM18 juta.

Semua transaksi itu akan diselesaikan menerusi terbitan saham-saham biasa Ipmuda, kata kumpulan itu.
“Pengambilalihan ini akan membolehkan kumpulan menjana keuntungan dan aliran tunai yang konsisten dan dapat mengukuhkan lagi kedudukan kewangan bagi tempoh jangka panjang.

“Malah, ini disokong lagi menerusi barisan kepimpinan baharu yang pakar dalam aspek tadbir urus dan kemahiran terutama RE dan penjagaan kesihatan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Ipmuda, Jeffri M. Yusup.

Selain itu, kumpulan berkenaan juga mengumumkan jualan tanah seluas 2.08 hektar di Seksyen 13, Petaling Jaya di Selangor kepada Pixel Valley Sdn Bhd pada harga RM82 juta yang melibatkan pulangan sebanyak RM65.2 juta.

Berikutan itu, aset ketara bersih sesaham kumpulan dijangka meningkat daripada 49 sen kepada RM1.14 berdasarkan akaun diaudit bagi 30 Jun, 2020.

Kumpulan tersebut akan mencadangkan terbitan bonus sebanyak 101.5 juta saham pada asas satu saham bonus bagi setiap saham Ipmuda sedia ada berserta 152.2 juta waran boleh pisah percuma pada asas tiga waran bagi setiap pegangan waran sedia ada.

Selain itu, Ipmuda juga akan mengemukakan cadangan terbitan 101.5 juta hak boleh lepas pada asas satu hak bagi setiap saham kumpulan sedia ada pada harga terbitan 30 sen sesaham yang mampu meraih kutipan sebanyak RM30.4 juta.

Ia menjangkakan langkah tersebut dapat selesai menjelang suku keempat tahun ini.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon