B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


IIB Ventures, MTDC bangunkan sehingga 200 usahawan teknologi baharu di Iskandar Puteri

IIB Ventures, MTDC bangunkan sehingga 200 usahawan teknologi baharu di Iskandar Puteri

18 Jun 2021

IIB Ventures Sdn Bhd, anak syarikat Iskandar Investment Bhd (IIB), menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Malaysian Technology Development Corporation Sdn Bhd (MTDC) untuk membangunkan sehingga 200 usahawan teknologi di Iskandar Puteri, Johor, memberi tumpuan kepada robotik dan teknologi baharu lain menjelang 2026.

Dalam kenyataan hari ini, IIB berkata MoU itu termasuk cadangan penubuhan Pusat Kecemerlangan (CoE) Robotik di Medini Iskandar, Johor bertujuan membangunkan usahawan teknologi dan tenaga kerja dalam bidang robotik dan teknologi baharu.

“IIB Ventures dan MTDC akan menyediakan akses pasaran dan peluang pengkomersialan untuk industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MoU itu ditandatangani pada majlis secara maya oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MTDC Datuk Norhalim Yunus manakala IIB Ventures diwakili oleh Pengarah Urusannya, Zulfiqar Zainuddin.

Majlis itu disaksikan oleh Pengerusi MTDC Tan Sri Abd Rahman Mamat dan Presiden/CEO IIB Datuk Ir Khairil Anwar Ahmad.

Khairil Anwar berkata pembangunan 200 usahawan teknologi di Iskandar Puteri dalam tempoh lima tahun akan datang akan dicapai melalui program di bawah Iskandar NEXT, antara lain, Hab Inovasi Iskandar serta Zon Dron dan Robotik (DRZ) Iskandar.

“Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, IIB akan turut menyediakan syarikat-syarikat yang datang ke lokasi, akses kepada pasaran untuk peluang pengkomersialan, khidmat nasihat untuk pembiayaan, akses kepada mentor industri, mewujudkan kesedaran dan menyediakan pemudahan pengawalseliaan yang berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Norhalim berkata CoE Robotik akan menjadi kerjasama Pusat 9 Tonggak MTDC (Co9p) yang pertama dengan IIB Ventures di wilayah selatan untuk menyediakan platform kepada penyedia penyelesaian Industri 4.0 tempatan untuk membangunkan, mengembangkan dan menawarkan perkhidmatan dan penyelesaian inovatif mereka kepada pelbagai sektor industri di Johor.

“MTDC mempunyai dalam ekosistemnya, syarikat tempatan yang telah menghasilkan penyelesaian Industri 4.0 yang disesuaikan, termasuk robotik, robot dan dron autonomi, yang dapat dikembangkan ke CoE Robotik.

“Kerjasama ini akan turut meningkatkan potensi besar untuk membangunkan tenaga kerja tempatan yang bersedia untuk Industri 4.0 dan membantu mencapai agenda transformasi digital sebagai sebahagian daripada inisiatif utama Iskandar Malaysia,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon