B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pulau Pinang sasar buka lebih banyak Perkhidmatan Perniagaan Global

Pulau Pinang sasar buka lebih banyak Perkhidmatan Perniagaan Global

08 Dis 2021

Pulau Pinang menyasarkan untuk mewujudkan dua lagi ruang Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) dalam tempoh sehingga tiga tahun akan datang, sejajar dengan usaha menjadi pusat sehenti bagi syarikat global.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pada masa ini Pulau Pinang menempatkan lebih daripada 60 GBS yang menyediakan perkhidmatan untuk operasi peringkat global dan Asia Pasifik selain menerima permintaan berterusan syarikat multinasional (MNC) untuk mendapatkan ruang GBS.

“Matlamat kami adalah untuk menarik lebih banyak GBS ke negeri ini, sama ada organisasi tempatan dan multinasional serta mengembangkan perkhidmatan GBS kepada yang bernilai tinggi seperti automasi proses robotik, kecerdasan buatan dan pemprosesan/analisis data raya berteraskan data serta keselamatan siber.

“Kami juga telah mengenal pasti dua bangunan yang masing-masing berkeluasan kira-kira 27,871 meter persegi (bagi tujuan itu),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kemudahan GBS@Mahsuri di sini, hari ini.

Chow juga menyifatkan industri Perkhidmatan Perniagaan Digital Global sebagai antara penyumbang utama terhadap ekonomi digital Malaysia selain menjadi penyumbang terbesar prestasi keseluruhan MSC Malaysia iaitu sehingga 50 peratus bagi pelaburan, eksport (66 peratus) dan mewujudkan pekerjaan (61 peratus).

Malah, katanya, pasaran GBS Malaysia dijangka berkembang kepada US$1.5 bilion (US$1 = RM4.22) menjelang akhir 2024 berbanding US$1.3 bilion pada 2019 sepertimana dalam laporan terbaharu Global Data Findings.

“Atas alasan itu dan menyedari kepentingannya, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang juga cabang pembangunan utama negeri ini, telah bertindak mewujudkan ruang GBS pertama GBS@Mayang yang disusuli dengan pembukaan kemudahan bercirikan reka bentuk moden, GBS@Mahsuri,” katanya.

Ruang GBS@Mahsuri setinggi dua tingkat itu terletak di kawasan seluas 1.25 hektar dan siap dibina pada 1 Okt, 2020 dengan kos bernilai RM21 juta manakala kawasan sewaan bersih seluas 7,443 meter persegi.

Pada masa ini, kemudahan itu menempatkan empat MNC terkemuka iaitu Cisco Systems (M) Sdn Bhd, Clarivate (M) Sdn Bhd, Emerald Global Services Sdn Bhd dan Teleperformance Malaysia Sdn Bhd.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon