B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


POIC Lahad Datu terima sembilan cadangan pelaburan bernilai RM882 juta

POIC Lahad Datu terima sembilan cadangan pelaburan bernilai RM882 juta

08 Dis 2021

Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu menerima sembilan cadangan pelaburan dari dalam dan luar negara melibatkan pelaburan RM882 juta pada tahun ini,  persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata, cadangan pelaburan itu dijangka mewujudkan 320 peluang pekerjaan, dan sehingga kini sebanyak 35 syarikat domestik dan asing sedang beroperasi di POIC Lahad Datu.

“Pelaburan (35 syarikat) ini telah mewujudkan sebanyak 2,214 peluang pekerjaan dengan nilai pelaburan RM3.53 bilion,” katanya ketika mengulung perbahasan Belanjawan 2022 Sabah di sini malam ini.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah berkata Taman Perindustrian Kota Kinabalu  (KKIP) sehingga kini berjaya menarik pelaburan bernilai RM3.4 bilion.

Beliau berkata hasil pelaburan itu sebanyak  242 buah kilang dan 21 buah institusi latihan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) telah beroperasi di KKIP dengan menyediakan lebih 10,500 peluang pekerjaan.

Katanya, yang terbaharu syarikat SK Nexilis, pelabur terbesar dan berteknologi tinggi dari Korea Selatan melabur RM4.2 bilion untuk pengeluaran kerajang tembaga mewujudkan 7,000 peluang pekerjaan semasa fasa pembinaan dan 400 peluang pekerjaan apabila beroperasi sepenuhnya pada September 2023.

“KKIP Sdn Bhd juga sedang dalam proses rundingan dengan lima buah syarikat domestik dan asing yang ingin melabur dalam pelbagai sektor industri dengan nilai pelaburan RM4.95 bilion dan mewujudkan 2,585 peluang pekerjaan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Joachim berkata hanya Sabah Ammonia Urea (SAMUR) sedang beroperasi di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) dengan nilai pelaburan RM6 bilion dan membabitkan 500 orang pekerja.

Beliau berkata empat projek telah diluluskan secara prinsip oleh Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Minyak dan Gas Sabah (SOGDC) dengan nilai pelaburan dianggarkan RM16.2 bilion.

Kesemua projek itu bakal mewujudkan 49,070 peluang pekerjaan di SOGIP.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon