B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Nestlé Malaysia guna tenaga boleh diperbaharui

Nestlé Malaysia guna tenaga boleh diperbaharui

08 Dis 2021

Nestlé Malaysia akan beralih sepenuhnya kepada tenaga boleh diperbaharui bagi seluruh operasinya di Malaysia mulai 1 Januari 2022.

Langkah itu akan membolehkan syarikat mengurangkan pelepasan sehingga 75,000 tan karbon dioksida setiap tahun.

Dalam pada itu, syarikat akan mempercepatkan usaha dan memenuhi komitmennya untuk memperolehi 100 peratus bekalan elektrik daripada sumber tenaga boleh diperbaharui (RE) menjelang 2025.

Langkah itu dapat dilaksanakan menerusi program Tarif Elektrik Hijau (GET), yang dilancarkan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dengan kerjasama TNBX Sdn Bhd, anak syarikat Tenaga Nasional Bhd (TNB) pada akhir bulan lalu.

Nestlé Malaysia adalah satu daripada sembilan syarikat korporat yang berikrar untuk menyokong program ini dan antara yang pertama menyempurnakan proses kelulusan.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols, berkata syarikat akan terus berusaha mengurangkan kesan alam sekitar sambil berusaha mencorakkan masa depan yang lebih hijau untuk semua.

“Dengan menyokong dan menyertai program GET yang dilancarkan baru-baru ini, kami kini boleh memenuhi keperluan tenaga elektrik daripada kuasa solar dan hidroelektrik yang dibekalkan oleh TNBX.

“Peralihan ini akan membolehkan kami menerima Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui Malaysia (mREC), sekali gus menyumbang kepada komitmen untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau menjelang 2030 dan mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

“Kami juga menyumbang kepada wawasan negara Malaysia untuk mempercepatkan pembangunan tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

Pengarah Urusan TNBX Sdn Bhd, Ir Nirinder Singh Johl, berkata pihaknya gembira kerana terdapat syarikat global seperti Nestlé Malaysia yang menyokong program GET, memberikan capaian kepada tenaga bersih sebagai insentif kepada rakyat Malaysia untuk lebih bersifat mesra alam dan mengurangkan jejak karbon dalam penggunaan elektrik.

“Ini sudah pasti menyumbang kepada agenda pembangunan lestari negara dan kami berharap syarikat lain akan menyusul,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon