B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pelbagai projek sedang, bakal dilaksana ECERDC untuk rancakkan pertumbuhan ekonomi Mersing

Pelbagai projek sedang, bakal dilaksana ECERDC untuk rancakkan pertumbuhan ekonomi Mersing

08 Dis 2021

Pelbagai projek dan inisiatif kini sedang dan bakal dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dalam usahanya untuk merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi daerah itu.

Antaranya termasuklah pembangunan Lembah Tenusu Jemaluang (JDV) dan projek pertanian lain yang mendapat sokongan penuh daripada kerajaan negeri Johor.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad, yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Johor pada Selasa berkata pelan pembangunan ECERDC untuk daerah berkenaan adalah selaras dengan inisiatif yang digariskan dalam Belanjawan Negeri Johor 2022.

Ia akan menyokong objektif kerajaan negeri untuk menambah baik jaminan keselamatan makanan dan membangunkan lagi pengeluaran agromakanan, katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Pembangunan JDV, yang dijadualkan bermula bulan ini melibatkan Perjanjian Kerjasama antara kerajaan negeri, ECERDC, dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Johor (SSI), yang mana pelantikan syarikat bagi menguruskannya akan dimuktamad pada Jun tahun depan.

Apabila beroperasi sepenuhnya, JDV dijangka menghasilkan sebanyak 5.1 juta liter susu segar sekali gus meningkatkan pengeluaran susu negara sebanyak 11 peratus.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Baidzawi Che Mat berkata ECERDC juga telah melaksanakan pelbagai projek lain termasuk pembangunan Tanjong Penyabong bagi menarik kehadiran pelancong.

“Projek itu telah menerima anugerah ‘Special Commendation Government (Public Space) Placemaker Awards ASEAN’ daripada Nextdor Property Communications bulan lepas sebagai pengiktirafan terhadap impak projek ruang awam yang memenuhi keperluan pengunjung.

“Manakala, projek Kampungstay di Air Papan yang melibatkan pembinaan 10 chalet, dewan serba guna, dua  restoran serta menaik taraf rumah bagi menggalakkan pelancongan berasaskan komuniti dijangka siap sepenuhnya Mei tahun depan,” kata Baidzawi.

Menurutnya, apabila siap kelak, projek tersebut dijangka memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat di samping menjana pendapatan pemilik rumah dengan menawarkan pengalaman Kampungstay dan perkhidmatan berkaitan pelancongan selain lawatan berpandu.

Selain itu, sebuah lagi projek yang sedang dijalankan iaitu pembinaan Pusat Penemuan Hutan Hujan (Rainforest Discovery Centre) PETA di Taman Negara EndauRompin (Johor), dijangka siap pada April 2023.

Tarikan pelancongan baharu itu dijangka mewujudkan peluang pekerjaan dalam industri pelancongan kepada masyarakat setempat khususnya Orang Asli di kawasan tersebut, katanya.

Selain itu, Taman Pemprosesan Ikan Endau-Mersing yang menyediakan platform kepada perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) untuk menghasilkan produk hiliran berasaskan ikan, kini sedang dalam pembinaan dan sudahpun 53 peratus siap.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon