B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


167 syarikat terima Geran Automasi Pintar RM99.5 juta

167 syarikat terima Geran Automasi Pintar RM99.5 juta

07 Dis 2021

Kerajaan meluluskan Geran Automasi Pintar (SAG) kepada 167 syarikat dengan nilai padanan (1:1) berjumlah RM99.5 juta, setakat 31 Oktober lalu.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata daripada jumlah itu, 86 peratus penerima geran adalah syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan selebihnya merangkumi syarikat peringkat pertengahan (MTC).

“Inisiatif berjumlah RM50 juta ini adalah untuk membantu PKS dan MTC mengautomasikan proses pengeluaran serta operasi syarikat.

“Ia menarik minat yang tinggi dalam kalangan syarikat PKS dan MTC. Maka dalam program pemerkasaan, dana tambahan sebanyak RM50 juta diberi seperti yang diumumkan pada Mac lalu.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan geran SAG adalah sebanyak RM100 juta dan ia diberi secara padanan 50-50 hingga had maksimum sebanyak RM1 juta bagi setiap syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2022 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdapat tujuh kriteria utama dalam pengagihan SAG, antaranya ialah syarikat berkenaan mesti terbabit aktiviti pembuatan dan perkhidmatan, selain beberapa kriteria lain.

Bagi dana projek berimpak tinggi yang berjumlah RM2 bilion, Mohamed Azmin berkata, ia sebagai peruntukan strategik dan berimpak tinggi bagi memastikan Malaysia dapat menarik pelaburan daripada syarikat bertaraf dunia, projek mega serta strategik.

“Ini selaras Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), termasuk untuk bersaing dengan negara rantau serta menawarkan insentif lebih kompetitif bagi projek yang telah kita tetapkan.

“Projek disasarkan melalui dana ini dijangka menjana pelaburan bernilai RM101.3 bilion dengan peluang pekerjaan kepada lebih 12,700 orang.

“Ia membabitkan sektor keutamaan negara, iaitu semikonduktor, infrastruktur digital, farmaseutikal dan teknologi pintar,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, kajian analisis kos faedah (CBA) Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) akan disiapkan pada akhir tahun ini.

“Apabila CBA siap, kita bersedia untuk berkongsi maklumat dan dapatan daripada CBA ini untuk maklumat awam,” katanya. 

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon