B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pulau Pinang jangka 2022 jadi tahun pemulihan perniagaan

Pulau Pinang jangka 2022 jadi tahun pemulihan perniagaan

24 Dis 2021

Pulau Pinang akan memasuki 2022 dengan peluang dan cabaran baharu seiring dengan perjalanan negara ke arah pemulihan dan dunia kembali bangkit daripada pandemik COVID-19, kata Penasihat Pelaburan Khas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Datuk Seri Lee Kah Choon.

Lee, yang juga Pengarah agensi penggalakan pelaburan kerajaan negeri, InvestPenang, berkata memandangkan ekonomi dunia terus dibuka, terdapat harapan yang tinggi bahawa krisis ini mungkin akan berakhir.

“Syarikat-syarikat yang mengambil peluang untuk mengukuhkan dan meningkatkan kawalan dalaman mereka; melanggan ideologi perniagaan ESG (Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus); mengguna pakai serta menyesuaikan proses pendigitalan akan berada dalam keadaan baik untuk meraih manfaat dalam persekitaran normal baharu,” katanya dalam satu kenyataan.

Lee ketika mengulas mengenai perspektif Pulau Pinang berkata terdapat banyak peluang di hujung horizon berikutan tunggakan bekalan yang diwujudkan oleh gangguan rantaian bekalan yang akan berterusan sekurang-kurangnya untuk setahun lagi sebelum kembali normal.

Kesan ketegangan perdagangan serta pandemik COVID-19 telah menjejaskan rantaian bekalan global secara serius dan proses pembuatan sekadar mengikut jadual yang diamalkan di bawah globalisasi sekarang, telah digantikan dengan pemusatan secara pewilayahan yang mengutamakan keselamatan bekalan dari masa ke masa dan kecekapan kos.

“Normal baharu ini memberi peluang besar kepada syarikat-syarikat Pulau Pinang untuk mengisi rantaian bekalan yang terganggu yang sebelum ini, tidak diberikan kepada mereka,” katanya.

Katanya lagi, manakala daripada perspektif pelaburan, pertumbuhan akan diterajui lebih banyak oleh pelaburan semula syarikat sedia ada dan bukannya melalui pelaburan langsung asing baharu.

Bagaimanapun, jalan ke arah normalisasi mungkin lama lagi, berliku dan penuh dengan cabaran kerana apabila Pulau Pinang meningkatkan rantaian nilai teknologi, permintaan untuk bakat akan menjadi lebih akut.

Cabaran ini  adalah bersifat multidimensi yang meliputi kuantiti dan kualiti tenaga kerja muda yang memasuki pasaran; keperluan buruh yang diimport bagi menyokong tenaga kerja tempatan termasuk penghijrahan bakat ke luar yang tidak sepadan dengan kemasukan.

Ini hanyalah beberapa faktor penyumbang utama kepada cabaran sumber manusia yang menyesakkan ekonomi Malaysia selepas pandemik.

“Sementara menunggu kerajaan persekutuan merangka pelan sumber manusia kebangsaan yang holistik antara kementerian, kerajaan negeri Pulau Pinang telah memulakan perjalanan untuk menarik bakat ke negeri ini.

“Dengan persekitaran yang mengalakkan keseimbangan gaya hidup dan kerja, Pulau Pinang sedang berusaha untuk menarik 150,000 bakat ke negeri ini untuk lima tahun akan datang bagi mengekalkan pertumbuhan ekonominya,” katanya.

Lee seterusnya menjelaskan, satu lagi cabaran ialah kenaikan kos menjalankan perniagaan termasuk peningkatan tenaga kerja, bahan mentah, pengangkutan serta kos pegangan untuk inventori.

“Semua ini akhirnya akan menyebabkan kos yang lebih tinggi ke atas produk akhir, yang mungkin diserapkan atau ditanggung pengguna, bergantung kepada keanjalan permintaan,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon