B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Indikator utama Oktober 2021 positif, tandakan pemulihan ekonomi stabil

Indikator utama Oktober 2021 positif, tandakan pemulihan ekonomi stabil

24 Dis 2021

Aliran positif dalam kebanyakan indikator utama Oktober menandakan pemulihan ekonomi yang stabil, didorong oleh pertumbuhan kukuh jumlah dagangan dengan 26.5 peratus, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata bagi sembilan bulan pertama 2021, ekonomi Malaysia berkembang dengan pertumbuhan positif 3.0 peratus berbanding negatif 6.4 peratus pada tempoh yang sama 2020.

“Sehubungan itu, tinjauan ekonomi yang optimistik dijangkakan pada 2022 dengan Bank Pembangunan Asia mengunjurkan ekonomi negara membangun Asia bertumbuh sebanyak 5.4 peratus.

“Begitu juga, KDNK Malaysia diunjurkan bertumbuh 3.0 peratus hingga 4.0 peratus tahun ini dan akan berkembang 5.5 peratus hingga 6.5 peratus pada 2022,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Kenyataan itu bagi mengulas Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 12/2021 iaitu edisi terakhir bagi 2021.

MESR itu menumpukan senario ekonomi Oktober 2021 dengan beberapa sorotan mengenai statistik akan datang bagi November 2021.

Ia juga dilengkapi dengan artikel khas bertajuk ‘Memahami Outward FATS Malaysia: Prestasi Affiliate Malaysia di Luar Negeri’ yang memperihalkan prestasi affiliate Malaysia di luar negara serta unjuran bagi nilai perolehan pada masa hadapan.

Mengulas lanjut mengenai senario ekonomi terkini berdasarkan petunjuk ekonomi semasa, Mohd Uzir berkata pada Oktober 2021, beberapa petunjuk ekonomi utama terus menunjukkan arah aliran yang positif berbanding Oktober tahun sebelumnya.

Beliau berkata dari sudut sektor luaran, jumlah dagangan Malaysia telah meningkat secara berterusan dengan peningkatan 26.5 peratus (September 2021: 25.5 peratus).

“Eksport meningkat 25.5 peratus kepada RM114.4 bilion sementara import mencatatkan pertumbuhan 27.9 peratus untuk merekodkan RM88.2 bilion, sekali gus menghasilkan lebihan dagangan sebanyak 17.9 peratus,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan prestasi perindustrian, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 5.5 peratus berbanding Oktober tahun lalu didorong oleh peningkatan 8.0 peratus dalam indeks pembuatan dan 4.1 peratus dalam indeks elektrik.

Selari dengan prestasi yang lebih baik ditunjukkan oleh indeks pembuatan, jualan pembuatan Malaysia berkembang 15.3 peratus pada Oktober 2021, terutama didorong oleh produk petroleum, kimia, getah dan plastik, katanya.

Beliau berkata jualan perdagangan borong dan runct bagi Oktober 2021 meningkat 5.4 peratus tahun ke tahun, kenaikan pertama direkodkan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (PKPP) pada Jun 2021.

“Prestasi tersebut disokong oleh subsektor perdagangan borong yang terus mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 4.4 peratus atau bersamaan dengan RM2.4 bilion pada Oktober 2021 untuk merekodkan RM55.8 bilion.

“Tambahan pula, perdagangan runcit meningkat 5.1 peratus manakala kenderaan bermotor melonjak kepada 10.2 peratus selepas mencatatkan pertumbuhan negatif dua digit sejak PKPP,” katanya.

Mengenai pasaran buruh pada Oktober 2021, Mohd Uzir berkata situasi tenaga buruh kekal stabil seperti yang ditunjukkan oleh peningkatan bilangan penduduk bekerja pada bulan tersebut, manakala kadar pengangguran jatuh ke paras terendah sejak April 2020.

Beliau berkata bilangan tenaga buruh meningkat 1.9 peratus atau 304.3 ribu orang untuk merekodkan 16.26 juta orang (Oktober 2020: 15.96 juta orang), seterusnya mencatatkan kadar penyertaan tenaga buruh yang lebih tinggi pada 68.5 peratus, meningkat 0.3 mata peratus berbanding bulan yang sama tahun lalu.

“Nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan keupayaan sesebuah ekonomi untuk mewujudkan guna tenaga, meningkat 0.5 mata peratus kepada 65.8 peratus pada Oktober 2021.

“Sementara itu, kadar pengangguran susut 0.4 mata peratus untuk merekodkan 4.3 peratus (Oktober 2020: 4.7 peratus),” katanya.

Beliau menambah, dari sudut harga, pada Oktober 2021, Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 2.9 peratus kepada 123.7 berbanding 120.2 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan pula bertumbuh dalam peratusan dua digit untuk bulan ketujuh berturut-turut dengan 13.2 peratus dan ia disumbangkan terutama oleh indeks perlombongan, katanya.

Ketua Perangkawan merumuskan ekonomi Malaysia dijangka bertambah baik dalam masa terdekat berdasarkan trajektori pemulihan ekonomi global.

Beliau berkata ini adalah selari dengan prestasi tahunan Indeks Pelopor (IP) yang bertumbuh 0.3 peratus pada Oktober 2021.

“Pada masa yang sama, prestasi IP yang memberangsangkan menunjukkan prospek yang lebih optimistik pada bulan-bulan akan datang sekiranya aktiviti ekonomi kembali normal secara beransur-ansur seiring dengan kelonggaran perjalanan rentas negeri.

“Namun begitu, bencana banjir yang melanda wilayah tengah dan pantai timur negara baru-baru ini diharap dapat diselesaikan memandangkan penumpuan ekonomi dan pekerjaan yang tinggi terutamanya di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X