B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


PROTON buka pusat alat ganti serantau di Kuching

PROTON buka pusat alat ganti serantau di Kuching

23 Nov 2022

Proton Holdings Bhd (PROTON) akan membuka Pusat Alat Ganti Serantau (RPC) baharu di sini bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat di Malaysia Timur.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah, berkata kemudahan seluas 28,000 kaki persegi itu memiliki lebih daripada tiga kali ganda kapasiti penyimpanan daripada stor sebelumnya dan akan berfungsi sebagai pusat pengedaran alat ganti untuk bahagian dan komponen selepas jualan untuk Sabah dan Sarawak.

“RPC baharu kami di Kuching hampir siap. Ia direka untuk memenuhi keperluan pengedar kami dan pelanggan mereka di Malaysia Timur selain mengurangkan masa menunggu untuk alat ganti di rantau di mana logistiknya agak mencabar.

“Selepas siap, kami akan memiliki keupayaan untuk menyimpan sehingga tiga bulan stok, malah boleh menerima penghantaran terus alat ganti daripada vendor luar negara,” katanya.

Roslan berkata, selain daripada peningkatan ruang dan keupayaan untuk mengendalikan penghantaran terus alat ganti, RPC baharu juga akan dapat menyimpan sehingga enam kontena, membolehkannya menerima berbilang tempahan serentak.

Katanya, ia juga akan dapat mengendalikan peningkatan daya pengeluaran, mengurangkan masa yang diperlukan untuk memproses dan menghantar pesanan ke pusat servis/pengedaran.

“Kami menjangkakan untuk melihat peningkatan ketara dalam masa menunggu untuk pembaikan kenderaan kemalangan. Sebagai tambahan kepada tiga bulan stok yang dipegang di RPC, pengedar kami juga dikehendaki mempunyai stok bahagian penyelenggaraan selama tiga bulan.

“Ini adalah contoh usaha PROTON untuk terus menambah baik perkhidmatan selepas jualan bagi memberikan tahap kepuasan pelanggan yang tertinggi. Kami faham mungkin ramai yang berhati-hati, tetapi saya ingin meyakinkan pemilik semasa dan akan datang, alat ganti tersedia untuk PROTON baharu anda,” katanya.

Menurut PROTON, jualan di Malaysia Timur telah meningkat secara progresif sejak 2019, berikutan pelancaran Proton X70 pada 12 Disember 2018.

“Jumlah jualan di wilayah berkenaan telah meningkat sebanyak 120 peratus dari 2018 hingga 2021, dan dengan angka tempahan yang sihat pada tahun 2022, syarikat menjangkakan pertumbuhan sebanyak 20 peratus lagi dalam jualan tahun ke tahun.

“Sehingga akhir Oktober, PROTON telah menyerahkan 115,366 unit kenderaan setakat tahun ini, menunjukkan peningkatan sebanyak 33.6 peratus setakat ini untuk 10 bulan pertama 2022.

“Model baharu PROTON mengukuhkan prestasi jualan yang membantu memacu pertumbuhan syarikat. Kurang daripada empat tahun selepas melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) pertamanya, syarikat itu telah menjadi jenama SUV paling popular di Malaysia. Proton X50 kini menjadi model SUV terlaris di negara ini dan secara kumulatif, hampir 50,000 unit Proton X50 dan Proton X70 telah diserahkan tahun ini,” katanya.

“Bagi pembeli kereta di Malaysia Timur, Proton Saga kekal sebagai model paling popular kami, diikuti dengan Proton X50. Tahun lalu, kami menjual 8,692 unit Proton Saga dan 2,934 unit Proton X50 dan berdasarkan trend tempahan semasa, kami meramalkan jualan masing-masing akan melebihi 10,000 dan 4,200 unit,” jelas Roslan.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon