B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Bajet Selangor 2023 fokus hadapi kemelesetan ekonomi

Bajet Selangor 2023 fokus hadapi kemelesetan ekonomi

22 Nov 2022

Bajet Selangor 2023 akan memfokuskan kepada strategi mendepani gelombang kemelesetan ekonomi dijangka berlaku pada tahun hadapan, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau memaklumkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dijadual bermula esok, diikuti dengan pembentangan Bajet 2023 pada Jumaat ini akan turut menitikberatkan aspek mampu memberi kebaikan kepada golongan muda, wanita dan kegiatan ekonomi.

“Ada beberapa insentif kita akan fokuskan terutamanya untuk anak muda, wanita serta memperkasakan kegiatan ekonomi supaya kelembapan atau ketidaktentuan ekonomi berjaya diatasi negeri yang menjadi nadi penting negara.

“Sudah pasti kita mahu mendepani cabaran tahun depan supaya Selangor bukan sahaja boleh menahan uji tetapi juga boleh menongkah arus,” katanya selepas merasmikan kejohanan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Selangor Masters Golf 2022 di Kelab Golf Seri Selangor, hari ini.

Beliau berkata, tumpuan berkenaan diberi berikutan keadaan ekonomi dijangka mencabar pada tahun depan disebabkan krisis bekalan, serta geopolitik tidak seimbang di samping kesan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sabtu lalu, Amirudin yang juga ahli Pakatan Harapan (PH) berjaya merampas kerusi Parlimen Gombak daripada penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila memperoleh majoriti undi 12,729. 

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon