B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


PM Anwar minta Saudi Aramco melabur di Kemaman

PM Anwar minta Saudi Aramco melabur di Kemaman

10 Ogo 2023

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah meminta syarikat minyak dan gas terbesar di dunia, Saudi Aramco untuk melabur di Kemaman, Terengganu.

Beliau berkata sebelum ini Pengerusi Aramco Yasir O. Al-Rumayyan memaklumkan kepadanya bahawa syarikat itu mahu menjadikan Johor sebagai pusat gerakan mereka di rantau Asia Tenggara.

“Tetapi saya kata tidak apa dan saya bagi tahu suruh pergi ke Kemaman,” katanya semasa berucap pada Ceramah Mega Jelajah Perpaduan MADANI Terengganu di Wakaf Tapai malam ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata semasa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat menunaikan haji baru-baru ini, Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al- Saud dan Perdana Menteri Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud memaklumkan bahawa negara itu bersetuju untuk jadikan Malaysia sebagai pusat pelaburan terbesar Arab Saudi di Asia Tenggara.

“Ini semua bukan sebab Anwar Ibrahim, tetapi kerana kerjasama Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan Sabah serta Sarawak. Mereka tahu kerajaan kita sekarang ini stabil,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkongsi perasaan terhutang budinya pada dua tokoh pemimpin politik Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Allahyarham Datuk Fadzil Noor.

“Saya tidak pernah melupakan jasa Tuan Guru Nik Aziz dan Ustaz Fadzil Noor. Mereka menunjukkan contoh terbaik sebagai orang Islam yang membela nasib rakyat dan kasih pada semua orang dan bukannya seperti pemimpin pembangkang ketika ini yang suka menghina orang lain,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon