B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Laluan Lorong Hijau TNB bantu Malaysia capai sasaran jadi kuasa digital dan pembuatan

Laluan Lorong Hijau TNB bantu Malaysia capai sasaran jadi kuasa digital dan pembuatan

09 Ogo 2023

Pelancaran Laluan Lorong Hijau TNB merupakan satu usaha penting untuk menyokong matlamat Malaysia menjadi kuasa digital dan pembuatan di rantau Asia Tenggara, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata Malaysia adalah hab yang ideal untuk operasi pusat data di rantau ini berikutan lokasi geografi strategik negara yang memberikan kelebihan daya saing serta landskap pelaburan yang kondusif dan menarik susulan kesalinghubungan kita yang kukuh, infrastruktur kuasa terjamin dan persekitaran yang mesra perniagaan.

“Sehingga kini, Malaysia telah menerima penyertaan pelbagai pemain terkemuka dalam pusat data dan sektor awan kita.

“Kita ada Amazon Web Services, yang komited untuk melabur di Malaysia bagi membina pusat data.

“Kita juga ada ByteDance System Sdn Bhd, pemilik Tik Tok yang komited untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital Malaysia melalui pelaburan jangka panjang yang menyediakan pengalaman dalam talian kepada satu bilion penggunanya di seluruh dunia,” kata Tengku Zafrul pada majlis pelancaran Laluan Lorong Hijau TNB ,di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, apa yang lebih penting, pelaburan infrastruktur digital oleh syarikat-syarikat ini juga memperkasakan perniagaan dan perusahaan tempatan untuk mencipta lebih banyak nilai dan peluang pertumbuhan menggunakan data dan teknologi berasaskan awan.

“Dengan menarik pelabur asing untuk mewujudkan persekitaran digital sedia pasaran ini, semua industri dan perusahaan kecil dan sederhana tempatan digalakkan untuk mengembangkan operasi mereka secara digital atau meneruskan inovasi berasaskan digital yang lain,” katanya.

Sementara itu TNB dalam satu kenyataan berkata Laluan Lorong Hijau itu merupakan laluan eksklusif dan tawaran strategik untuk menyediakan penyelesaian yang cekap dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar kepada pengendali pusat data.

“Ia adalah untuk menyelaraskan proses onboarding bagi pusat data, mempercepatkan kelulusan dan memudahkan persediaan operasi pusat data yang lancar di Malaysia.

“Laluan Lorong Hijau kami menyedia penawaran bekalan eletrik yang pantas, yang mana pusat data akan disambungkan tiga kali lebih cepat daripada masa penghantaran biasa, mengurangkan tempoh pelaksanaan daripada 36-48 bulan kepada hanya 12 bulan, di samping pusat sehenti (OSC) bagi pelabur pusat data dan perkhidmatan sokongan khusus,” kata TNB.

Syarikat utiliti nasional itu berkata, proses ini dijangka dapat menarik lebih banyak syarikat pusat data untuk menubuhkan operasi mereka di Malaysia, dan juga menawarkan bantuan penyelenggaraan 24 jam dan penyelesaian yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan setiap pusat data.

Pada majlis yang sama, TNB memeterai lima perkongsian strategik iaitu empat perjanjian bekalan elektrik dengan Yellowwood Properties Sdn Bhd, AirTrunk Malaysia Sdn Bhd, SIPP Power Sdn Bhd dan GDS IDC Malaysia Sdn Bhd dan satu memorandum persefahaman (MoU) dengan MRANTI Corporation Sdn Bhd.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon