B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia berminat jalin lebih banyak kerjasama digital dengan China

Malaysia berminat jalin lebih banyak kerjasama digital dengan China

10 Ogo 2023

Malaysia berharap dapat menjalin lebih banyak kerjasama dua hala dengan China dalam bidang ekonomi digital bagi meningkatkan pendapatan rakyat serta mengurangkan kos sara hidup.

Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di China S. Sanmugam berkata Malaysia dan negara ASEAN lain boleh belajar banyak daripada republik itu, khususnya dalam bidang (ekonomi digital), kerana ia mempunyai lebih banyak sumber untuk penyelidikan dan pembangunan dalam bidang ekonomi digital.

“Perdagangan antara Malaysia dan China mencecah lebih US$200 bilion tahun lepas dan semasa lawatan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ke China pada April tahun ini, kami telah menarik ramai pelabur China untuk melabur di Malaysia; dan semasa lawatan itu, beliau (Anwar) telah menjana sebanyak RM170 bilion potensi pelaburan ke Malaysia.

“Jadi ini adalah satu daripada kejayaan yang dicapai Perdana Menteri semasa lawatannya ke sini. Setelah lawatan itu, kami mempunyai ramai menteri yang telah datang, (dan) tindak balas terhadap itu dalam banyak bidang seperti pelancongan dan pertanian,” katanya pada Sambutan Hari ASEAN 2023 yang diadakan di Kedutaan Malaysia di sini.

Sanmugam berkata kedua-dua negara ASEAN dan China juga boleh memperhebat dasar interaksi antara rakyat untuk mengukuhkan hubungan silang budaya antara wilayah sejak China membuka semula sepenuhnya sempadan negara itu kepada warga asing Mac lalu.

“Mengenai pertukaran pelajar semasa pandemik COVID-19 dua setengah tahun lepas, kita tidak melakukan banyak pertukaran antara negara ASEAN dan China, tetapi kini ramai pelajar Malaysia kita pulang ke China untuk menyambung pelajaran.

“Pelajar juga mengadakan persembahan Silat hari ini sempena sambutan Hari ASEAN, yang mempamerkan kekayaan budaya dan perpaduan ASEAN,” katanya.

Beliau juga optimis hubungan baik dan kerjasama antara China dan negara-negara ASEAN dapat melangkah lebih jauh untuk 50 tahun akan datang dalam banyak bidang walaupun terdapat beberapa konflik dan pertikaian – seperti dalam isu Laut China Selatan.

“Saya percaya (bahawa) dialog, perbincangan dan kerjasama dengan negara-negara jiran sentiasa boleh menyelesaikan masalah… kita mempunyai banyak elemen positif perbincangan, dialog, kerjasama, perkongsian, ini adalah perkara-perkara yang perlu kita jangkakan,” tambahnya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon