B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Petronas Chemicals beli firma Sweden Perstorp bernilai RM10.5 bilion

Petronas Chemicals beli firma Sweden Perstorp bernilai RM10.5 bilion

18 Mei 2022

Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) telah memeterai satu perjanjian pembelian sekuriti bagi memperoleh 100 peratus syarikat bahan kimia khusus global berpangkalan di Sweden, Perstorp Holding AB pada 1.54 bilion euro atau RM7.02 bilion.

Perjanjian tersebut telah ditandatangani dengan Financiere Foret S.a.r.l, sebuah syarikat di bawah PAI Partners yang juga firma ekuiti swasta Eropah.

Pembelian itu meletakkan Perstorp Group pada nilai perusahaan sebanyak 2.30 bilion euro atau RM10.5 bilion.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PCG Mohd Yusri Mohamed Yusof berkata pengambilalihan bermakna itu merupakan satu pencapaian besar untuk PCG dalam mewujudkan satu platform penting untuk mempelbagaikan usahanya dalam industri bahan kimia khusus.

“Ini juga dapat menjana peluang pertumbuhan baharu yang membolehkan perniagaan kalis masa depan terhadap kitaran serta ketidaktentuan pasaran.

“Perstorp juga adalah pelengkap strategik yang mantap bagi PCG dalam membolehkan kami menyertai pasaran akhir yang menarik seperti (segmen) cat dan salutan, pembinaan, automotif, penjagaan peribadi dan makanan berkhasiat untuk haiwan dengan prospek pertumbuhan yang memberangsangkan.

“Pembelian ini akan turut membantu dari segi mendapatkan pekerja dengan kemahiran penting, serba tahu selain platform teknologi serta saluran pelanggan yang terbukti dapat menangani keperluan pasaran bagi penyelesaian lebih mampan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PCG juga menyifatkan perjalanannya bagi mencapai matlamat sebagai syarikat kimia pilihan dengan menawarkan penyelesaian inovatif untuk pelanggan, adalah berteraskan strategi jelas yang memperkukuh portfolio petrokimia asasnya dan kepelbagaian aspek derivatif, terutama kimia khusus serta penyelesaiannya, sekali gus dapat memperkukuh pendapatan secara menyeluruh.

Langkah terbaharu ini juga menyusuli usaha pengambilalihan BRB Group pada 2019 — peneraju pengeluar bebas dan perumus silikon, bahan tambahan minyak pelincir dan bahan kimia yang membolehkan PCG menembusi bidang baharu.

“Bagi kami, pembelian Perstorp ini menarik kerana rangkaian produknya yang meluas, jumlah pelanggan yang kukuh serta kedudukannya sebagai peneraju pasaran dalam bahan kimia tertentu yang menjadi pelengkap kepada PCG,” katanya.

Mohd Yusri berkata Perstorp akan turut memberi tambahan sehingga 2.3 juta tan setahun ke atas kapasiti pengeluaran PCG dan menyumbang kira-kira 28 peratus peningkatan hasil untuk PCG berdasarkan keputusan kewangan 2021 selain menyokong matlamat jangka sederhana untuk mewujudkan 30 peratus hasil yang dijana daripada perniagaan bukan tradisional menjelang 2030.

“Pengambilalihan ini akan turut menyumbang ke arah memperkukuh industri kimia khusus Malaysia yang dapat memberi manfaat ekonomi dalam jangka panjang,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perstorp Jan Secher pula yakin terhadap kemampuan kumpulan untuk berkembang dalam fasa pertumbuhan seterusnya dengan berasaskan jenama Petronas yang kukuh di peringkat global serta kekuatan PCG sebagai peneraju industri dan pasaran terkemuka di rantau Asia Pasifik.

Perstorp yang ditubuhkan sejak 140 tahun lepas, terbabit dalam pembangunan penyelesaian mampan yang menumpukan pasaran resin dan salutan, cecair kejuruteraan dan makanan berkhasiat untuk haiwan.

Ia terdapat di 26 negara termasuk Amerika Syarikat, Eropah dan Asia Pasifik yang dibarisi oleh kira-kira 1,500 pekerja.

Beberapa produk Perstorp juga di kedudukan pertama global seperti trimethylolpropane (TMP) dan pentaerythritol (Penta).

Bagi tahun kewangan 2021, Perstorp mencatat perolehan hasil sebanyak 1.33 bilion euro (RM6.54 bilion) manakala pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan sebanyak 248 juta euro (RM1.21 bilion).

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon