B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


DHL Express labur RM13 juta pindah Pusat Khidmat Prai

DHL Express labur RM13 juta pindah Pusat Khidmat Prai

17 Mei 2022

DHL Express, penyedia logistik terkemuka dunia memindahkan Pusat Khidmat Prai ke kemudahan yang lebih besar bernilai RM13 juta di Taman Perindustrian Batu Kawan.

Ia berikutan peningkatan permintaan penghantaran antarabangsa daripada peniaga di negeri-negeri utara Semenanjung.

Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, Julian Neo, berkata pusat khidmat baharu itu akan meningkatkan kapasiti pemprosesan penghantaran sebanyak 170 peratus yang membolehkan transit lebih pantas dan seterusnya meningkatkan tahap perkhidmatan untuk pelanggan di tanah besar Pulau Pinang, Perlis dan Kedah.

“Pusat khidmat baharu ini merangkumi ruang pergudangan dan pejabat seluas 2,386 meter persegi iaitu lima kali ganda lebih besar daripada saiz lokasi sebelumnya dan ia adalah respons terhadap peningkatan permintaan untuk perkhidmatan penghantaran antarabangsa daripada peniaga di wilayah utara.

“Selaras dengan komitmen Deutsche Post Group untuk mencapai pelepasan karbon sifar menjelang 2050, kemudahan ini dilengkapi dengan sistem panel solar dan infrastruktur cekap tenaga yang dijangka akan mengurangkan pelepasan gas hijau sebanyak 26.9 peratus,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian pembukaan Pusat Khidmat Prai baharu di Taman Perindustrian Batu Kawan.

Ia dirasmikan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Pusat Khidmat Prai sebelum ini di Taman Inderawasih di Perai.

Neo berkata, pusat khidmat baharu itu mengendalikan penghantaran domestik dan antarabangsa ke 220 negara dan wilayah di bawah liputan DHL Express.

Beliau berkata, ia turut menyediakan kemudahan ‘Service Point’ untuk pelanggan mengumpul dan menurunkan bungkusan.

Katanya. sebagai fasilitator utama dalam rangkaian bekalan global, DHL Express membantu perniagaan tempatan merealisasikan potensi pertumbuhan mereka dengan menembusi pasaran eksport dan Pusat Khidmat Prai yang baharu itu.

“Pelanggan kami berada di kedudukan yang lebih baik untuk memanfaatkan percambahan sektor e-dagang dalam segmen perniagaan kepada perniagaan (B2B) dan pasaran perniagaan kepada pelanggan (B2C),” katanya.

Beliau berkata, pada Mei 2021, DHL Express memperkenalkan laluan terus Hong Kong-Pulau Pinang yang menghubungkan hab itu sebanyak lima kali seminggu dengan pesawat Airbus A300 dengan ruang kargo 54 tan ditetapkan khususnya bagi negeri ini apabila komponen dan alat ganti elektronik adalah sebahagian besar eksportnya.

“Penerbangan itu bukan sahaja akan menambah kapasiti tetapi turut memendekkan masa transit pergi balik dari bandar-bandar berkenaan.

“Malah, penyertaan dalam dagangan luar negara boleh membawa daya tahan, pembangunan mampan dan pekerjaan berkualiti untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat besar,” katanya.

Sementara itu, Kon Yeow berkata kerajaan negeri gembira melihat DHL Express bertapak lebih kukuh di Pulau Pinang kerana ia dapat menyokong perkembangan perniagaan tempatan yang kini dilihat berlaku peningkatan dalam jumlah jualan luar negara.

“Pelaburan DHL Express menunjukkan keyakinan mereka terhadap negeri ini yang secara keseluruhannya memberi manfaat kepada ketersambungan strategik kami ke Asia,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon