Pharmaniaga bina kilang RM300 juta hasilkan insulin, vaksin halal - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pharmaniaga bina kilang RM300 juta hasilkan insulin, vaksin halal

Pharmaniaga bina kilang RM300 juta hasilkan insulin, vaksin halal

15 Mei 2022

Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) sedang membina sebuah kilang bernilai RM300 juta di Puchong, Selangor, yang akan beroperasi untuk menghasilkan insulin dan vaksin halal.

Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata kilang yang mula dibina sejak dua tahun lepas itu dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun 2023 dan akan memulakan pemasaran pada awal tahun 2024.

Katanya apabila beroperasi nanti, kilang tersebut akan menghasilkan vaksin COVID-19 serta pelbagai vaksin lain dan insulin dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 100 hingga 300 juta dos dalam tempoh setahun.

“Pandemik lalu mengajar kita agar Malaysia mempunyai jaminan ubat-ubatan. Oleh itu, kita kini dalam perancangan untuk melaksanakannya, selain beberapa perbincangan juga telah diadakan bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Kesihatan (KKM).

“Setakat ini, bekalan vaksin diimport dari luar negara sepenuhnya. Dengan adanya kilang ini nanti, kita mampu untuk membangunkan vaksin sendiri di Malaysia dengan beberapa kerjasama dari Thailand, Korea dan India sekali gus membuatkan kita tidak lagi bergantung kepada negara lain untuk mendapatkan vaksin,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penyerahan rasmi kunci rumah kepada mangsa kebakaran Che Aziz Che Teh di Kampung Kubang Palas di sini. Turut hadir Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UAC Berhad, BT Gan.

Zulkarnain berkata setakat ini, pihaknya telah membekalkan sebanyak 20.4 juta dos vaksin COVID-19 kepada kerajaan dan kini masih mempunyai baki vaksin COVID-19 sebanyak 14 juta dos.

Katanya pihaknya kini sedang menfokuskan untuk memasarkan bekalan vaksin yang ada untuk pasaran kepada pihak swasta termasuk klinik swasta dan klinik yang berdaftar. 

“Kita juga ingin menyarankan kepada ibu bapa, pihak sekolah supaya membawa anak-anak mereka untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 termasuk dos penggalak untuk ketahanan mereka terhadap wabak ini memandangkan setakat ini hanya kira-kira 30 peratus daripada golongan ini yang mendapatkan suntikan,” katanya.

Mengenai penyerahan kunci rumah itu, Zulkarnain berkata rumah bernilai RM80,000 itu diberikan kepada Che Aziz yang terlibat dalam kejadian kebakaran pada 14 Okt tahun lepas sehingga mencederakannya dan menyebabkan beliau serta keluarga tinggal sehelai sepinggang.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon