B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MGTC, KeTSA galakkan lebih banyak syarikat laksana tenaga lestari menerusi EMGS

MGTC, KeTSA galakkan lebih banyak syarikat laksana tenaga lestari menerusi EMGS

17 Mei 2022

Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) komited untuk terus bekerjasama dengan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bagi menggalakkan lebih banyak syarikat melaksanakan sistem pengurusan tenaga lestari melalui pensijilan Standard Emas Pengurusan Tenaga (EMGS).

Ketua Pegawai Eksekutif, Shamsul Bahar Mohd Nor berkata langkah itu selaras dengan aspirasi negara untuk memacu agenda kecekapan tenaga ke arah mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

“Perubahan iklim dan pemanasan global merupakan cabaran paling besar yang dihadapi oleh masyarakat pada abad ini.

“Bermula dengan revolusi industri, manusia telah banyak melakukan aktiviti membakar bahan bakar fosil untuk menghasilkan haba dan elektrik,” katanya pada majlis penganugerahan sijil EMGS di bawah Skim Pengurusan Tenaga ASEAN (AEMAS) di sini, pada Selasa.

Beliau berkata menurut laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, suhu bumi telah meningkat sebanyak satu darjah celsius sejak abad ke-19.

Sekiranya suhu bumi meningkat lebih daripada 1.5 darjah celcius, maka banyak kesan buruk akan berlaku contohnya pemanasan global akan menyebabkan cuaca tidak menentu dengan ribut menjadi ekstrem, hujan lebat lebih sering berlaku dan kemarau berpanjangan, katanya.

Shamsul Bahar berkata justeru, langkah-langkah mitigasi awal diperlukan bagi menangani perubahan iklim.

Beliau berkata ini termasuk inisiatif kecekapan tenaga yang bermula dengan budaya pengurusan tenaga untuk mengurangkan pengunaannya dan seterusnya memulihara sumber asli.

“Inisiatif untuk menambah baik prestasi kecekapan tenaga bukan sahaja menyumbang kepada penjimatan kos operasi, malah mencerminkan kesedaran dan komitmen sesebuah organisasi dalam usaha mengurangkan impak operasi terhadap alam sekitar,” katanya.

MGTC merupakan penyelaras negara yang dilantik untuk pelaksanaan program AEMAS di Malaysia.

AEMAS merangkumi dua subprogram iaitu Kursus Latihan Pengurus Tenaga (EMTC) dan pensijilan EMGS.

Beliau berkata secara amnya, MGTC berperanan mempromosikan program AEMAS, menghasilkan tenaga pengajar dan penilai tempatan serta melaksanakan penilaian terhadap pengurus tenaga dan organisasi.

Shamsul Bahar berharap ia dapat menarik minat lebih banyak organisasi untuk menyertai dan mencapai pensijilan EMGS yang diberikan kepada organisasi yang telah melaksanakan sistem pengurusan tenaga lestari dan telah disahkan memenuhi kriteria EMGS oleh penilai AEMAS.

Sebanyak 128 organisasi secara keseluruhannya menerima sijil EMGS pada majlis itu.

27 organisasi menerima pensijilan 1-bintang, diikuti 44 organisasi memperoleh 2-bintang dan 57 pula meraih pensijilan tertinggi iaitu 3-bintang.

Antara penerima pensijilan tertinggi ialah Institut Jantung Negara di sini, serta hospital di Sik (Kedah), Alor Gajah (Melaka), Balik Pulau (Pulau Pinang), serta Segamat dan Tangkak di Johor.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan amat aktif dalam pelaksanaan pensijilan EMGS sebagai sebahagian daripada komponen program kelestarian yang dilaksanakan di kemudahan kesihatan kerajaan.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon