B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Perdagangan dua hala Turki-Malaysia melonjak dengan protokol FTA terkini

Perdagangan dua hala Turki-Malaysia melonjak dengan protokol FTA terkini

28 Jul 2023

Perdagangan dua hala Turkiye-Malaysia telah menunjukkan trend peningkatan dan dijangka melonjak dua kali ganda pada tahun-tahun akan datang selepas pengenalan protokol tambahan dalam Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) mereka.

Duta Besar Republik Turkiye ke Malaysia Emir Salim Yuksel berkata hubungan dua hala yang sudah mantap boleh dipertingkatkan lagi selain terdapat potensi besar dalam perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

“Kami baru-baru ini telah memperluaskan skop FTA dengan protokol tambahan. Sekarang FTA merangkumi perdagangan dalam perkhidmatan, e-dagang termasuk pelaburan.

“Tahun lepas, perdagangan dua hala menghampiri US$5 bilion (US$1=RM4.54). Saya yakin angka ini akan melonjak dua kali ganda pada tahun-tahun akan datang,” katanya dalam ucap tama semasa majlis resepsi “Turkiye: Rakan Pelaburan Berdaya Tahan Anda”, yang diadakan di Kediaman Duta Turki di sini pada Khamis.

Majlis resepsi, yang dihadiri oleh 150 tetamu, dianjurkan bagi memperingati ulang tahun ke-100 penubuhan republik itu.

Pada majlis tersebut, Yuksel berkongsi aspirasi negaranya untuk menjadi antara 10 ekonomi terbaik dunia dalam tempoh sedekad.

Yuksel berkata Turkiye akan terus menjadi titik persamaan bagi pelaburan dan sebagai rakan berdaya tahan pada abad akan datang.

“Masih terdapat potensi yang besar dan belum diterokai. Oleh itu, saya ingin mengambil peluang untuk menjemput anda agar melabur dalam Turkiye.

“Kami menawarkan pasaran yang stabil dan besar seramai 85 juta pengguna di dalam sempadan kami. Selain itu, setelah berjaya memuktamadkan Kesatuan Kastam dengan Kesatuan Eropah (EU) beberapa dekad lepas, pelaburan anda di Turkiye akan mempunyai akses bebas ke pasaran EU,” kata Yuksel.

Sementara itu, Presiden Pejabat Pelaburan A. Burak Daglioglu ketika bercakap kepada Bernama di luar majlis resepsi berkata Turkiye menawarkan banyak peluang dalam pelbagai sektor yang mana ia mempunyai kelebihan seperti lokasi strategik, iklim pelaburan liberal, pasaran domestik dan serantau yang besar.

Antara peluang sektoral yang diketengahkan oleh Burak adalah makanan tani, tenaga, pemula niaga penjagaan kesihatan dan kewangan tertentu, hasil daripada projek Pusat Kewangan Istanbul yang dilancarkan baru-baru ini.

Turkiye merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport utama dan destinasi import keenam terbesar dari rantau Asia Barat.

Pada 2022, jumlah perdagangan Malaysia dengan Turkiye meningkat 12.6 peratus kepada RM20.25 bilion (US$4.62 bilion) daripada RM17 bilion (US$4.10 bilion) pada 2021.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon