B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pelaburan asing yang besar bukti Kerajaan Perpaduan kukuh, stabil – PM

Pelaburan asing yang besar bukti Kerajaan Perpaduan kukuh, stabil – PM

28 Jul 2023

Kemasukan pelaburan asing yang besar seperti syarikat teknologi dan kenderaan elektrik (EV) Tesla Inc membuktikan bahawa negara di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan adalah stabil serta kukuh.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelabur asing memilih Malaysia sebagai lokasi pelaburan bukan kerana nama beliau sebaliknya kerana kestabilan kerajaan yang berjaya diwujudkan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“… bila kita (Kerajaan Perpaduan) perintah dan jadi kerajaan stabil, apa yang berlaku? Elon Musk minta nak bercakap dengan saya, Perdana Menteri Malaysia.

“Bukan kerana saya tapi kerana kerajaan ini yang stabil… kebijaksanaan PH dan BN yang memilih untuk bekerjasama demi Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika berucap pada program Sentuhan Kasih Desa Terengganu di Bandar Al Muktafi Billah Shah di sini hari ini.

Pada 14 Julai lepas, Anwar berkata Musk, pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Inc dan SpaceX, bersetuju untuk melabur secara besar-besaran di Malaysia termasuk membuka ibu pejabat Tesla Inc di Cyberjaya, Selangor.

Berkongsi perkembangan terkini berhubung pelaburan Tesla, Perdana Menteri berkata ibu pejabat syarikat teknologi dan kenderaan elektrik di Cyberjaya itu dijangka dirasmikan pada September atau Oktober tahun ini.

Katanya pihak Tesla juga telah menjemput dan meminta beliau merasmikan pejabat itu menerusi pertemuan dengan Ketua Pengurus syarikat tersebut minggu lepas.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata selain Tesla, syarikat automotif terkenal dunia Geely Global juga bakal membina kota pembangunan kenderaan terbesar di rantau Asia Tenggara di Tanjung Malim, Perak.

Beliau berkata pelaburan besar itu sekali gus akan membuka dan menambah peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia khususnya golongan belia.

“Dia (Geely Global) rancang dah 10 tahun (buka kota automotif) tapi dia tunggu kerajaan stabil (Kerajaan Perpaduan).

“Saya akan pastikan golongan belia, khususnya anak muda dari Terengganu yang layak, akan dibawa ke Tanjung Malim untuk menjayakan projek ini,” katanya.

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut menyampaikan replika cek bagi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Negeri Terengganu yang melibatkan dana RM12,570,000 dan Program Peningkatan Pendapatan bernilai RM797,250 kepada wakil penerima.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah Datuk Seri Ahmad Said serta beberapa menteri Kabinet.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon