B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Momentum pelaburan di Malaysia kekal positif – Tengku Zafrul

Momentum pelaburan di Malaysia kekal positif – Tengku Zafrul

29 Jul 2023

Momentum pelaburan di Malaysia yang menyaksikan pertumbuhan kukuh sejak suku pertama 2023 dijangka mengekalkan trajektori meningkat pada suku kedua 2023, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, pada suku pertama 2023, Malaysia telah menerima pelaburan diluluskan berjumlah RM71.4 bilion dalam pelbagai sektor ekonomi, peningkatan sebanyak 60 peratus berbanding RM44.7 bilion yang dicatatkan pada suku sama tahun lepas.

“Momentum pada suku kedua 2023 yang akan diumumkan tidak lama lagi, turut positif. Kita berada pada landasan yang tepat dan ini isyarat yang baik dengan mengambil kira situasi tidak menentu yang menyelubungi pasaran global,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul berkata, jumlah perdagangan Malaysia dijangka menyederhana pada suku kedua 2023 berikutan perdagangan global yang perlahan dan diramal berkembang sekitar 1.6 hingga 1.7 peratus tahun ini, seiring dengan pertumbuhan ekonomi global.

Beliau berkata, Malaysia adalah ekonomi terbuka dengan nisbah perdagangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2022 pada 141 peratus, justeru banyak dipengaruhi oleh keadaan yang berlaku di seluruh dunia.

Melangkah ke hadapan, Tengku Zafrul berharap syarikat Malaysia akan terus memberikan tumpuan untuk meluaskan eksport dengan berkembang ke pasaran baharu serta meninjau peluang di pasaran halal untuk meredakan penyusutan angka perdagangan akibat kejatuhan harga komoditi sejak tahun lepas.

Berkenaan ramalan KDNK Malaysia pada empat hingga lima peratus bagi 2023, beliau optimis bahawa angka ini mampu dicapai.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa negara tidak boleh bergantung kepada penggunaan dan perbelanjaan kerajaan untuk meraih pertumbuhan.

“Kita mendapati bahawa keputusan di Amerika Syarikat (AS) telah menjejaskan dunia. Terdapat banyak spekulasi berkenaan hala tuju seterusnya Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC). Pengukuhan dolar AS adalah disebabkan langkah memperketat dasar monetari dan ini telah memberikan tekanan kepada mata wang lain termasuk ringgit.

“Apa-apa sahaja keputusan FOMC, bagi Malaysia, kita perlu memberi fokus kepada asas kita dan inilah sebabnya Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah mengumumkan kerangka Ekonomi MADANI untuk meningkatkan ekonomi dan menambah baik daya saing negara.

“Penting untuk memberikan tumpuan kepada jangka panjang supaya kita boleh bergerak ke hadapan untuk tampil sebagai negara berpendapatan tinggi,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, 40 peratus daripada langkah yang diumumkan dalam Ekonomi MADANI adalah di bawah tanggungjawab Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

“Jelas bahawa menerusi kerangka ekonomi ini, pemerkasaan industri, pelaburan dan eksport dilihat sebagai antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya.

Berkenaan matlamat Ekonomi MADANI untuk membolehkan Malaysia menjadi antara 30 ekonomi terbesar di dunia, Tengku Zafrul berkata hasrat itu boleh dicapai sekiranya semua pihak bekerjasama memberikan idea masing-masing.

Beliau menegaskan, bahawa ia adalah pendekatan keseluruhan negara dan tidak boleh dilaksanakan secara bersendirian.

Bagi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang diumumkan oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli baru-baru ini, Tengku Zafrul menyatakan keyakinan bahawa langkah itu akan membantu meningkatkan dan menarik lebih banyak pelaburan.

“Saya berpandangan bahawa tenaga boleh baharu (TBB) akan menjadi pelengkap. Kita memerlukan kepelbagaian berikutan kita bergantung kepada satu sumber tenaga.

“Sudah tentu, peralihan akan berlaku dan bakal mengambil masa disebabkan kos masih tinggi berbanding sumber tenaga semasa yang kita gunakan pada masa ini yang mempunyai subsidi tinggi,” kata Tengku Zafrul.

Bagaimanapun, beliau berpendapat bahawa peralihan kepada TBB tidak dapat dielakkan kerana Malaysia memerlukan pertumbuhan yang mampan.

Bagi mencapai hasrat itu, negara memerlukan piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus, antaranya TBB.

“Kita mempunyai banyak pelaburan TBB yang sedang dilaksanakan dan perlu ditegaskan bahawa pelaburan daripada syarikat multinasional memerlukan TBB. Sehubungan itu, Tenaga Nasional Bhd dan banyak syarikat lain menyertai TBB kerana terdapat permintaan. Inilah sebabnya saya melihat banyak pelaburan masuk.

“Mempunyai NETR adalah kelebihan kita yang menunjukkan kita mempunyai perancangan dalam industri hijau dan ini akan membantu merangsang keyakinan pelabur untuk melabur dalam industri ini,” katanya. 

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon