B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Perdagangan dua hala Malaysia-China cecah US$203.6 bilion pada 2022

Perdagangan dua hala Malaysia-China cecah US$203.6 bilion pada 2022

17 Feb 2023

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan China mencatatkan peningkatan besar pada 2022 mencecah rekod tertinggi sebanyak US$203.6 billion, kata Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.

Beliau berkata China dan Malaysia saling bekerjasama mempromosikan pembinaan ‘Belt and Road’ yang berkualiti tinggi serta kerjasama yang berterusan dalam projek utama seperti ‘Two Countries, Twin Parks’  dan Laluan Rel Pantai Timur yang membawa manfaat besar kepada rakyat kedua-dua negara pada tahun lepas.

“China menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama 14 tahun berturut-turut. China dan Malaysia adalah jiran baik yang telah menjalin persahabatan sejak sekian lama. Kita adalah rakan baik yang saling memahami dan mempercayai antara satu sama lain.

“Kita juga rakan kongsi yang baik yang mendapat manfaat daripada kerjasama sama-sama menang. Hubungan China-Malaysia adalah antara yang terbaik dalam kalangan negara-negara Asean,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian anugerah Biasiswa Duta Besar China di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di sini, hari ini.

Beliau berkata tahun ini menandakan ulang tahun ke-10 penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif China-Malaysia, manakala tahun depan adalah ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik China-Malaysia.

“Ini adalah tahun-tahun yang penting untuk menggalakkan lagi kerjasama pendidikan, dan pertukaran rakyat dengan rakyat antara kedua-dua negara,” katanya.

Selain itu, Ouyang berkata pendidikan sentiasa mengikuti peredaran masa dan pelbagai usaha telah dilakukan untuk meningkatkan interaksi dan pertukaran yang lebih erat antara golongan muda kedua-dua negara.

Justeru, katanya, Kedutaan China telah menubuhkan Biasiswa Duta Besar China dan berbesar hati apabila seramai 259 belia di UTAR telah menerima biasiswa itu sejak ia ditubuhkan pada 2016.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon