B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Elna PCB dari Taiwan labur RM1 bilion di Pulau Pinang

Elna PCB dari Taiwan labur RM1 bilion di Pulau Pinang

19 Feb 2023

Elna PCB, penyedia papan litar bercetak (PCB) yang berpangkalan di Taiwan, melabur kira-kira RM1 bilion bagi kilang pembuatan baharunya di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.

Presiden Elna PCB Malaysia Sdn Bhd, Ian Yang, berkata kilang baharu seluas 10,289 meter persegi itu direka bentuk untuk menghasilkan PCB bagi penggunaan automotif, pelayan, perangkaian, komputer riba dan produk peranti elektronik pengguna.

“Pembinaan kilang baharu ini bermula sejak Disember 2022 dan dijangka siap dalam masa setahun. Kami menyasarkan pengeluaran besar-besaran pada 2024,” katanya kepada pemberita pada upacara pecah tanah kilang itu yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, di sini, semalam.

Yang berkata, kilang baharu itu dijangka mewujudkan tambahan 1,000 peluang pekerjaan dalam bidang kejuruteraan, pembuatan dan pengurusan kualiti bagi menyokong ekosistem dengan penambahan kapasitinya.

Menurutnya, usaha pelaburan semula terbaharu itu akan meningkatkan pindahan teknologi dan pengetahuan serta memupuk lebih banyak perkongsian rantaian bekalan tempatan yang akan membawa kepada ekosistem industri lebih kukuh di Malaysia.

“Pembekal tempatan sangat menyokong dan kami berharap dapat mengukuhkan hubungan dengan mereka dengan menyediakan lebih banyak aktiviti penyetempatan.

“Selain itu, infrastruktur berkualiti tinggi Pulau Pinang dan sokongan padu kerajaan juga adalah alasan utama bagi kami melabur di Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu, Kon Yeow berkata pengembangan kilang baharu itu akan mengukuhkan lagi penyelesaian teknologi keupayaan tenaga kerja tempatan serta mewujudkan peluang besar bagi pembekal tempatan.

“Didorong oleh kedudukan kita sebagai hab elektrik dan elektronik (E&E) utama negara, Pulau Pinang terus menjadi tonggak utama perdagangan luaran Malaysia yang mana Pulau Pinang menerajui senarai pada 2021 dengan nilai eksport sebanyak RM354 bilion.

“Dari segi pelaburan, Pulau Pinang juga adalah antara penyumbang utama kepada negara, dengan pelaburan pembuatan yang dilulus mencecah paras tertinggi dalam sejarah sebanyak RM76 bilion pada 2021.

“Pada Januari hingga September 2022, Pulau Pinang meraih pelaburan pembuatan yang diluluskan berjumlah RM9 bilion, yang mana 53 peratus disumbang oleh produk E&E, mewakili 22 peratus daripada jumlah keseluruhan dalam sektor E&E,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon