B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Perbadanan Labuan garis pelan tarik pelabur asing

Perbadanan Labuan garis pelan tarik pelabur asing

01 Feb 2023

Perbadanan Labuan menggariskan pelan jangka pendek serta panjang bagi menarik pelabur luar ke pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa Labuan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rithuan Ismail, berkata antara pelan yang sedang dan akan diambil oleh agensi itu ialah mewujudkan kerjasama yang lebih erat dengan semua agensi pelaburan termasuk di koridor ekonomi Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina (BIMP-EAGA).

“Melalui kerjasama strategik ini, promosi untuk peluang pelaburan di Labuan dapat dimanfaatkan dalam industri-industri sasaran seperti minyak dan gas, pusat perniagaan serta kewangan antarabangsa (IBFC) dan pelancongan,” katanya dalam temubual Program The Brief Bernama TV sempena Hari Wilayah Persekutuan hari ini.

Pendekatan ini juga memberi fokus kepada memudah cara proses kelulusan dan mengurangkan birokrasi pelaksanaan projek, mengadakan sesi dialog serta sesi libat urus bersama dewan-dewan perniagaan, pelabur-pelabur dan pemain industri dengan lebih kerap melalui pembabitan agensi seperti MITI, MIDA, kedutaan serta pesuruhjaya tinggi asing di Malaysia.

“Ini adalah bagi mencari penyelesaian kepada cabaran yang dihadapi oleh pelabur dalam pelaksanaan projek,” katanya.

Pelan itu juga menfokuskan kepada kajian potensi pelaburan asing selain mengukuhkan pelaburan tempatan melalui sokongan bantuan MATRADE untuk meningkatkan akses pasaran global dengan mengintegrasi syarikat tempatan ke rantaian global menerusi kerjasama strategik dalam pelbagai platform perdagangan/pameran antarabangsa.

Antara strategi-strategi yang akan dilaksanakan bagi menarik lebih ramai pelabur ke Labuan adalah pengurusan dalam menyediakan pelan perancangan strategik pelaburan; memperkukuhkan peranan agensi penggalakan pelaburan seperti MIDA dan MITI dalam membantu PL sebagai pemudahcara pelaburan kepada para pelabur; memperkasakan Unit Pelaburan PL bagi memperluaskan peluang pelaburan untuk menarik pelabur asing termasuk menubuhkan Task Force Pelaburan, kumpulan pemikir serta memastikan mesyuarat tentang pelaburan kerap diadakan bagi menyelesaikan isu-isu pengurusan dan penyelenggaraan.

Selain itu, strategi juga merangkumi penyediaan kawasan komersil serta perindustrian yang kondusif dan kawasan-kawasan berkenaan akan diselengara dengan baik selain menggalakkan pembukaan tapak perindustrian baharu dengan pembabitan anak syarikat dan pemaju tempatan; memperkenalkan inisiatif e-dagang bagi membantu usahawan tempatan melebarkan pasaran produk keluaran (jika berkaitan) dan memperkenalkan insentif termasuk inisiatif pelaburan untuk menjalinkan kerjasama strategik bersama institusi berkaitan serta penyedia perkhidmatan profesional bagi memberikan perkhidmatan kepada pelabur yang berpotensi dan berminat melabur di Labuan.

Rithuan berkata, jaringan perhubungan juga diberi tumpuan dengan meningkatkan usaha promosi di luar negara seperti program lawatan penggalakan pelaburan melalui anak syarikat Perbadanan Labuan pada sekurang-kurangnya empat kali setahun selain mempertingkatkan jaringan perhubungan dengan Brunei; kedutaan-kedutaan di Malaysia; dewan-dewan perniagaan asing dalam dan luar negara melalui program kunjungan hormat yang diadakan dari semasa ke semasa.

Selain itu, fokus diberikan kepada penyertaan Labuan dalam misi penggalakan pelaburan dan perdagangan anjuran MITI / MIDA atau agensi/kementerian yang berkaitan; dan mewujudkan jaringan kerjasama strategik dengan syarikat milikan asing yang terdapat di Labuan bagi memperkenalkan Labuan kepada pelabur-pelabur di negara mereka.

Katanya lagi, usaha dalam promosi peluang-peluang pelaburan melalui pengiklanan dalam media cetak atau elektronik dalam dan luar negara akan dilaksanakan; penyertaan dalam pameran yang berkaitan dengan pelaburan di peringkat domestik serta antarabangsa; dan menganjurkan sekurang-kurangnya satu ekspo/pameran setahun berkaitan dengan pelaburan dengan kerjasama agensi-agensi di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP).

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon