B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Unit Capital A buka kemudahan MRO di Senai

Unit Capital A buka kemudahan MRO di Senai

19 Jan 2023

Asia Digital Engineering (ADE), cabang kejuruteraan Capital A melancarkan kemudahan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) baharu di Senai, Johor dalam usaha mengukuhkan lagi misinya menawarkan perkhidmatan bernilai terbaik dengan kecekapan tinggi untuk rantau ini.

Hangar seluas 5,000 meter persegi itu dibina di atas kawasan seluas 107.4 ekar di Zon Perindustrian Bebas Lapangan Terbang Senai (SAFIZ).

Ia kemudahan MRO pertama di Taman Penerbangan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan kemudahan MRO ketiga ADE.

Dengan lebih 20 tahun pengalaman kejuruteraan yang menawarkan perkhidmatan kepada syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia AirAsia, ADE kini bersedia untuk menawarkan perkhidmatan terbaiknya kepada semua.

Ini termasuk sokongan komponen, penyelenggaraan talian dan penyelenggaraan pangkalan untuk pelbagai model pesawat, seperti Airbus A320, A330 dan rangkaian pesawat Airbus yang lain dengan perancangan untuk mengembangkan kapasiti perkhidmatan kepada pesawat jenis lain pada masa hadapan.

Majlis pelancarannya semalam dirasmikan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim.

Ia turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes, berkata pelancaran kemudahan itu akan mengembangkan lagi kehadiran ADE dalam sektor kejuruteraan pesawat di Asia Pasifik.

“Kami yakin Johor adalah sebuah negeri yang menawarkan pelbagai peluang keemasan dan aset berharga kepada pembangunan ekonomi Malaysia.

“Kami berbangga kerana ADE menempa satu lagi kejayaan hari ini dalam memacu dan mengubah perkhidmatan MRO dengan ketara, sama seperti bagaimana AirAsia mencipta pasaran baharu untuk sektor perjalanan lebih 20 tahun lalu.

“Sebahagian besar kejayaan AirAsia adalah kerana usaha penyelenggaraan dan kecekapan tinggi ADE. Justeru, semua pesawat kami diselenggara oleh mereka seterusnya mengurangkan kos untuk syarikat penerbangan kami dan sekali gus menurunkan tambang kepada tetamu,” katanya.

Beliau berkata, ekosistem digital Capital A yang didorong oleh data raya membolehkan juga ADE mendapat manfaat menggunakan sains data untuk meningkatkan kecekapan, kebolehpercayaan dan produktiviti.

“Kami yakin bahawa sebagai sebuah syarikat kejuruteraan abad ke-21 yang didorong oleh data raya, ADE akan meletakkan Johor dan Malaysia sebagai penyedia MRO terkemuka dunia untuk AirAsia dan syarikat penerbangan pihak ketiga di rantau ini,” katanya/

Ketua Pegawai Eksekutif ADE, Mahesh Kumar, berkata pelancaran kemudahan penyelenggaraan pesawat di Senai adalah satu kejayaan bagi syarikat itu untuk memulakan tahun ini.

“Kami berbangga untuk menyumbang kepada pertumbuhan sektor penyelenggaraan aeroangkasa Malaysia, terutamanya di zon pembangunan strategik seperti Johor,” katanya.

Kemudahan baharu ADE menawarkan perkhidmatan strategik kepada pesawat komersial AirAsia yang semakin berkembang dan syarikat penerbangan pihak ketiga yang lain.

Berikutan pelancaran kemudahan ini, ADE bakal menawarkan perkhidmatan kepada negara yang membangun dari segi ekonomi di rantau ini.

Ia juga akan mengembangkan lagi kehadiran dan perkhidmatannya dalam industri MRO di rantau Asia Pasifik, seterusnya menyumbang secara besar-besaran kepada pertumbuhan industri penerbangan.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon