B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Misi MITI ke Singapura berjaya raih pelaburan RM13 bilion

Misi MITI ke Singapura berjaya raih pelaburan RM13 bilion

31 Jan 2023

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berjaya meraih komitmen pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM13 bilion daripada tiga pelabur melalui misi pelaburannya ke Singapura.

Misi itu, yang diketuai oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dianjurkan sempena lawatan rasmi pertama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Singapura.

Tiga syarikat iaitu Sea Ltd, Kumpulan Yondr dan INSEACT secara kolektif memberi komitmen untuk melabur RM13 bilion di Malaysia.

Pelaburan berkenaan dijadualkan akan beroperasi dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Sea Ltd, syarikat induk Shopee, platform e-dagang serantau terbesar di Asia Tenggara dan Taiwan komited untuk mengembangkan pelaburannya di Malaysia, mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan.

Syarikat itu berhasrat untuk menyediakan perkhidmatan awan, pengehosan dan pemprosesan data, serta gudang logistik e-dagang baharu di negara ini.

Satu lagi pelabur adalah Kumpulan Yondr, peneraju global dalam pembangunan dan pengendalian pusat data.

Kumpulan Yondr yang menyalurkan lebih daripada 500 megawatt (MW) kepada pelanggan skala hiper terkemuka dunia, memasuki pasaran Malaysia dengan memperoleh tanah seluas 75 ekar di Sedenak, Johor.

Ia sedang membangunkan kampus pusat data skala hiper dengan kapasiti IT sebanyak 300MW.

Pelaksanaan projek Yondr di Johor dijangka menghasilkan sebuah kampus pusat data skala hiper terbesar di Asia Tenggara dan bakal memainkan peranan penting dalam pembangunan ekosistem digital Malaysia.

Syarikat ketiga, INSEACT, ialah syarikat protein alternatif yang berpangkalan di Singapura, dan pengeluar protein serangga untuk makanan akuakultur.

Ia berhasrat untuk menubuhkan kemudahan pengeluaran di Johor, yang pertama di Asia Tenggara.

Pendekatan unik dalam pengeluaran protein alternatif ini berpotensi untuk menampung permintaan Asia yang semakin meningkat bagi sumber makanan yang mampan.

Tengku Zafrul berkata, komitmen pelaburan bernilai keseluruhan RM13 bilion ini mencerminkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.

Beliau berkata, ia juga mencerminkan hubungan perdagangan dan pelaburan yang sudah lama terjalin dan saling menguntungkan di antara Malaysia dan Singapura.

Katanya, MITI berhasrat untuk mengembangkan dan mengukuhkan hubungan istimewa ini, terutamanya dalam membina daya tahan rantaian bekalan untuk industri masing-masing, berasaskan kerjasama dalam ekonomi digital dan ekonomi lestari.

“Kami berazam untuk membuktikan kepada pelabur bahawa Malaysia adalah pro-perdagangan, pro-perniagaan dan pro-pelaburan,” katanya dalam satu kenyataan.

Misi pelaburan yang dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan MITI dan MIDA itu adalah satu penanda aras yang penting ke arah merealisasikan matlamat Malaysia untuk menjadi hab inovasi global dengan ekosistem pelaburan yang berdaya tahan dan mampan.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon