B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Penubuhan inkubator Blockchain, IOT lengkapkan ekosistem pembuatan Pulau Pinang

Penubuhan inkubator Blockchain, IOT lengkapkan ekosistem pembuatan Pulau Pinang

23 Mei 2022

Penubuhan 25 Startups, inkubator pertama Malaysia untuk teknologi Blockchain dan Internet-of-Things (loT), tepat pada masanya untuk melengkapkan ekosistem pembuatan Pulau Pinang yang kukuh.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata 25 Startups akan menarik pelbagai syarikat permulaan tempatan dan asing yang khusus dalam Blockchain dan loT yang matlamatnya untuk menguji potensi pasaran mereka dalam industri teknologi Malaysia yang berkembang pesat dan membangunkan produk mereka di peringkat tempatan di Pulau Pinang.

“Sepanjang tempoh 50 tahun, Pulau Pinang membina ekosistem pembuatan yang kukuh. Bagaimanapun, pembuatan saja tidak mencukupi untuk berada di hadapan dan memenuhi permintaan serta jangkaan pelanggan.

“Kami percaya kita perlu melengkapkan kekuatan ini dalam teknologi perkakasan dengan penyelesaian perisian digital yang menarik dan unik,” katanya berucap pada perasmian pejabat 25 Startups di sini malam ini.

Zahidi berkata, walaupun pandemik memperlahankan pertumbuhan syarikat permulaan dalam beberapa tahun ini, Pulau Pinang bertentangan dengan trend itu dengan peningkatan aktiviti baru-baru ini dan kadar pertumbuhan di sini mungkin lebih tinggi dengan pemain yang sesuai.

Beliau berkata, Pulau Pinang yang juga dikenali sebagai Lembah Silikon Timur, mempunyai industri pembuatan yang kukuh dengan pengalaman selama 50 tahun, menempatkan lebih 350 syarikat multinasional dan lebih 3,000 perusahaan kecil dan sederhana dalam sektor pembuatan, serta menarik jutaan pelancong setiap tahun.

Susulan itu, syarikat permulaan teknologi boleh memanfaatkan rantaian bekalan syarikat gergasi teknologi dan syarikat perindustrian ini untuk menyelesaikan masalah serta isu dunia sebenar.

“Dengan semua ruang kerja bersama ini terletak di Daerah Digital Kreatif di sini, saya berharap syarikat permulaan akan mengambil peluang menyertai dan bersepadu dengan hab ini yang dikuasakan sepenuhnya oleh infrastruktur 5G untuk memenuhi semua keperluan digital.

“Saya yakin pembukaan pusat ini akan menggalakkan lebih ramai pemain utama dari sektor swasta untuk menyertai ekosistem itu, seperti inkubator, pemecut, pelabur dan pemodal teroka, selain meningkatkan standard untuk memenuhi kepentingan global,” katanya.

Firma modal teroka di sebalik 25 Startups, Pengerusi Karuna Khoshee Venture Capital Sdn Bhd, Datin Ros Suryati Alang berkata, selain menggalakkan syarikat permulaan dalam Blockchain dan IoT, ia turut menumpukan usahanya mentransformasikan inovasi syarikat permulaan kepada model perniagaan yang mencatatkan keuntungan boleh dikomersialkan.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X