B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia berjaya tarik pelaburan baharu bernilai RM16.52 bilion dari AS

Malaysia berjaya tarik pelaburan baharu bernilai RM16.52 bilion dari AS

21 Mei 2022

Malaysia berjaya menarik pelaburan baharu bernilai RM16.52 bilion dari Amerika Syarikat (AS) melalui Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) yang diketuai Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini.

Mohamed Azmin berharap bahawa kesemua komitmen projek pelaburan baharu yang terlibat dapat dimuktamadkan pada suku ketiga tahun ini.

“Kita berharap pada suku ketiga tahun ini, kesemua komitmen ini akan dapat dimuktamadkan dan ia dapat mencipta peluang pekerjaan bagi rakyat tempatan,” kata beliau dalam sidang media mengenai Hasil Misi Galakan Perdagangan dan Pelaburan ke Amerika Syarikat di sini hari ini.

Antara projek pelaburan baharu adalah daripada syarikat Insulet, Ferrotec,  Amazon Web Services Inc (AWS) dan Cue Health serta projek pengembangan pelaburan oleh Texas Instruments dan Boston Scientific.

Misi perdagangan dan pelaburan selama 10 hari bermula 9-18 Mei itu memberi tumpuan kepada sektor baharu yang berinovatif dan bernilai tambah tinggi khususnya industri semikonduktor, ekonomi digital dan sektor peranti perubatan selari dengan Aspirasi Pelaburan Nasional yang memfokuskan pelaburan berkualiti tinggi dan melibatkan teknologi terkini.

Mohamed Azmin menambah syarikat yang terlibat turut menyatakan komitmen mereka dalam memastikan pemindahan teknologi serta mewujudkan ekosistem dan penglibatan industri tempatan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di dalam rantaian bekalan syarikat-syarikat berkenaan.

“Pelaburan mereka juga akan menjana peluang pekerjaan, peluang latihan kemahiran kepada pekerja tempatan, mewujudkan kerjasama dengan universiti tempatan serta  pembangunan vendor tempatan,” katanya.

Pada masa ini, AS merupakan rakan dagang global dan destinasi eksport yang ketiga terbesar bagi Malaysia dan merupakan sumber import yang keempat terbesar pada tahun 2021 sementara Malaysia pula adalah rakan dagang ke-17 terbesar Amerika Syarikat.

“Jumlah potensi eksport keseluruhan ke AS adalah sebanyak RM1.44 bilion,” kata Mohamed Azmin.

Katanya walaupun ekonomi global berhadapan dengan cabaran dan situasi ekonomi yang tidak menentu berikutan penularan pandemik COVID-19, jumlah perdagangan keseluruhan antara kedua-dua negara meningkat sebanyak 21.4 peratus kepada RM217.10 bilion (US$52.37 bilion) pada tahun 2021.

Eksport Malaysia ke AS meningkat 30.4 peratus kepada RM142.20 bilion (US$34.31 bilion) dengan eksport utama terdiri daripada produk elektrik dan elektronik (E&E) serta produk berasaskan getah.

Import dari AS pula meningkat 7.4 peratus dengan nilai RM74.87 bilion (US$18.06 bilion) yang melibatkan produk E&E dan keluli. 

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon