B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pengisytiharan Pelabuhan POIC Lahad Datu bakal rancak ekonomi Sabah – Joachim

Pengisytiharan Pelabuhan POIC Lahad Datu bakal rancak ekonomi Sabah – Joachim

29 Jun 2022

Pelabuhan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu bakal merancakkan lagi pembangunan perindustrian dan ekonomi Sabah menerusi pengisytiharan pengoperasian sepenuhnya sebagai pelabuhan awam hari ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata pengisytiharan Pelabuhan POIC Lahad Datu mengikut Seksyen 3, Enakmen Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah 1981 juga dijangka mampu menarik lebih ramai pelabur dan memberi impak signifikan kepada pembangunan perindustrian kawasan pantai timur negeri.

Pengisytiharan Pelabuhan POIC Lahad Datu sebagai sebuah pelabuhan awam juga bakal memperkasakan lagi keupayaannya dalam memainkan peranan penting sebagai hab logistik di Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

“Pelabuhan POIC Lahad Datu dibangunkan sejak 2013, namun, ia tidak boleh beroperasi sebagai satu pelabuhan sebenar kerana belum ada pengisytiharan dilakukan mengikut undang-undang.

“Dengan pengisytiharan pada hari ini, Pelabuhan POIC Lahad Datu bersedia menjalankan operasi perniagaannya seperti pelabuhan lain yang sedia ada. Ramai pemain industri menggunakan pelabuhan tersebut kerana keadaannya baik dan kawasan strategik.

“Kita berharap jumlah kemasukan kargo dan kontena ke Sabah boleh ditingkatkan sekali gus memberi signifikan kepada pembangunan ekonomi negeri, selain dapat mengurangkan harga barang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pengisytiharan rasmi Pelabuhan POIC Lahad Datu di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Menteri Kerja Raya Sabah.

Mengulas lanjut, Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian negeri berkata, POIC Lahad Datu memainkan peranan penting dalam konteks pembangunan dan perindustrian Sabah termasuk dalam sektor digalakkan di bawah Pelan Induk Perindustrian Sabah.

Ini merangkumi aktiviti hiliran kelapa sawit; kayu balak dan koko; industri pemprosesan makanan; industri elektrik dan elektronik; industri petrokimia dan gas; industri produk mineral bukan logam serta industri jentera dan acuan, katanya.

“POIC Lahad Datu bukan sahaja akan membawa masuk pelaburan langsung ke tapak kluster tetapi juga merangsang aktiviti ekonomi yang lebih besar di Lahad Datu serta kawasan berhampirannya termasuk dalam sektor perkhidmatan, perindustrian, pertanian dan pembinaan,” jelasnya.

Joachim berkata dengan kewujudan terminal kontena, terminal pukal kering dan cecair serta kemudahan pendaratan tongkang, POIC Lahad Datu dilihat akan dapat memenuhi keperluan pengguna untuk menjalankan urusan perniagaan mereka.

“Pelabuhan memainkan peranan penting dalam rantaian logistik keseluruhan bagi membolehkan pembangunan perdagangan dan ekonomi negeri. Sudah tentu dengan rasminya pengisytiharan pelabuhan ini secara langsung menjadi daya tarikan kepada pelabur-pelabur baharu ke POIC Lahad Datu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif POIC Sabah Sdn Bhd Datuk Fredian Gan ketika berucap berkata Taman Perindustrian POIC Lahad Datu telah menarik pelaburan kira-kira RM3.5 bilion setakat ini, dan nilai pelaburan itu dijangka terus meningkat dengan pengisytiharan pelabuhan berkenaan.

“Dengan kewujudan beberapa kemudahan infrastruktur, POIC mula merancang selain merencanakan hala tuju melangkah ke hadapan termasuk menjadikan Lahad Datu sebagai hab logiktik, pembuatan, pemprosesan, pemindahan dan penyatuan barangan yang unggul di wilayah BIMP-EAGA,” jelasnya.

Katanya, POIC turut mendukung rancangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu di Lahad Datu yang dilihat bakal menjadi pemangkin kepada inisiatif pewujudan hab pengangkutan berpusat di POIC Lahad Datu, selain hab marin antarabangsa dan penubuhan Kawasan Zon Bebas.

Pada majlis itu, Bung Moktar dan Joachim turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian konsesi pengoperasian pelabuhan antara Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah dengan POIC Sabah Sdn Bhd dan POIC Logistics Sdn Bhd.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon