B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia, Australia komited tingkat dagangan dua hala

Malaysia, Australia komited tingkat dagangan dua hala

29 Jun 2022

Malaysia dan Australia menyatakan semula komitmen masing-masing untuk memperkukuh hubungan perdagangan dan dua hala susulan Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) yang dimeterai oleh kedua-dua negara pada Januari tahun lalu.

Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada Rabu, CSP bertujuan memetakan hala tuju untuk rangka kerja yang lebih khusus dalam kerjasama strategik termasuk bidang kemakmuran ekonomi.

MITI menjelaskan, Menteri Kanannya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan komitmen Malaysia untuk mempertingkatkan hubungan yang telah sedia erat ini ke tahap kerjasama seterusnya terutama dalam perdagangan dan pelaburan.

Itu disuarakan Mohamed Azmin semasa majlis makan tengah hari bersama-sama Menteri Luar Australia, Penny Wong dan delegasinya hari ini.

MITI menambah, menteri juga mengatakan dalam mengukuhkan rantaian bekalan Malaysia-Australia, Malaysia turut mengalu-alukan pemindahan pengetahuan dari Australia berkaitan dengan pembangunan pemetaan rantaian bekalan, rangka kerja dan struktur tadbir urus yang menumpukan enam industri iaitu peralatan pelindung diri, farmaseutikal, peralatan perubatan, makanan dan minuman, elektrik dan elektronik serta automotif.

Mohamed Azmin juga mengiktiraf sokongan dan kerjasama kerajaan Australia berkaitan standard makanan, yang akan memudahkan perdagangan dan memenuhi agenda jaminan makanan kedua-dua negara di samping menekankan bahawa Malaysia akan menyelaras dengan badan berkaitan untuk meneruskan kerjasama dengan pihak berkuasa Australia, menurut MITI.

MITI menambah, sementara itu Wong berkata sebagai antara rakan dagangan paling penting dan strategik Malaysia di rantau Oceania, Australia mahu meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan ke tahap yang lebih tinggi melalui pelbagai platform dua hala, serantau dan pelbagai hala.

Kedua-dua menteri juga berminat meneroka peluang bagi menggiatkan lagi kerjasama dalam aspek digital untuk memajukan pembangunan ekonomi digital dalam bidang inovasi data, kecerdasan buatan, pemudahan perdagangan dan perlindungan data peribadi, tambah kementerian itu.

Malaysia mengalu-alukan lebih banyak syarikat Australia untuk melabur dalam sektor yang disasarkan di bawah Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dalam meningkatkan pekerjaan berpendapatan tinggi dan berintensifkan nilai tinggi, teknologi tinggi, pengetahuan, modal dan kemahiran, jelas MITI.

“Malaysia dan Australia berkongsi aspirasi yang sama ke arah penyepaduan serantau yang lebih besar, dengan hubungan dua hala yang berlandaskan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA) serta Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik untuk Kemakmuran (IPEF),” tambah MITI.

Menurut MITI, Australia merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia di rantau Oceania pada 2021, manakala dari segi pelaburan, syarikat Australia terus memilih Malaysia sebagai hab untuk operasi global dan pintu masuk mereka ke pasaran global dengan projek pembuatan dilaksanakan bernilai RM5.67 bilion daripada Australia dan mewujudkan lebih 20,000 peluang pekerjaan. 

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X