B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Keperluan mendesak bagi manfaatkan kuasa teknologi dalam globalisasi digital – Abdul Wahid

Keperluan mendesak bagi manfaatkan kuasa teknologi dalam globalisasi digital – Abdul Wahid

28 Jun 2022

COVID-19 sebagai pemangkin, globalisasi pendigitalan bermakna terdapat keperluan yang mendesak untuk menangani pelbagai halangan yang dihadapi untuk memanfaatkan kuasa teknologi untuk kesejahteraan isi rumah, syarikat dan pekerja Malaysia, kata Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar. 

Beliau berkata ekonomi digital dan pendigitalan telah menjadi ungkapan yang amat kerap digunakan dalam kumpulan dasar sejak beberapa dekad yang lepas.

“Oleh itu, kita tidak boleh terlepas pandang mengenai kepentingan pendigitalan kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Kita hidup di dunia di mana kita sama ada melakukan inovasi atau jatuh,” katanya pada majlis makan malam Sidang Kemuncak Ekonomi Digital dan Teknologi Dunia (WDETS) di sini hari ini. 

Abdul Wahid berkata walaupun pendigitalan boleh memberi impak positif yang besar kepada prestasi makroekonomi secara keseluruhannya, mungkin juga terdapat implikasi pasaran buruh berikutan automasi dan kecerdasan buatan yang berpotensi menggantikan pekerja.

Katanya memastikan tahap pembangunan infrastruktur Internet dan pendidikan digital yang mencukupi serta mengurangkan jurang digital merupakan faktor lain yang memacu potensi pendigitalan, sebagai input kepada kemajuan ekonomi.

“Oleh itu, penggubal dasar menghadapi cabaran untuk memanfaatkan faedah pendigitalan yang maksimum untuk daya saing ekonomi mereka, termasuk melalui pendidikan yang sesuai dan pembaharuan pasaran buruh serta pelaburan infrastruktur digital,” katanya.

Abdul Wahid turut menegaskan bahawa Malaysia mempunyai antara jumlah pengguna digital yang tertinggi dan infrastruktur yang baik untuk ekonomi digital, dengan hampir satu juta perusahaan kecil dan sederhana mengguna pakai e-dagang.

“Kita mempunyai lebih 5,000 syarikat permulaan yang inovatif dan tiga syarikat permulaan unicorn. Ekonomi digital Malaysia menyumbang kepada satu perempat daripada ekonomi kita.

“Kita mempunyai industri digital pesat membangun seperti bandar pintar, pembuatan, fintech dan teknologi agro-makanan. Negara kita mungkin kecil berbanding negara jiran tetapi kita mempunyai banyak kluster inovasi seperti Pulau Pinang, Cyberjaya dan Kuching,” katanya.

Beliau juga berkata pendekatan pelbagai pihak berkepentingan penting untuk memastikan manfaat ekonomi digital diagihkan dan dikongsi secara saksama dengan rakyat.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon