B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Penggiat industri bantu bangunkan TVET

Penggiat industri bantu bangunkan TVET

23 Feb 2023

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bekerjasama dengan 18 penggiat industri tempatan dan antarabangsa bagi memperkasa bidang Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerjasama terbabit mampu melahirkan lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi dalam sektor darat, laut dan udara.

“Dengan menyediakan kemahiran yang diperlukan menerusi program TVET, kita bukan saja menyediakan belia untuk pasaran kerja, tetapi juga modal insan bagi pembangunan dan kemajuan peringkat tempatan serta global.

“Ini kerana TVET mempunyai peranan penting dalam membantu usaha kita menjadi negara maju yang setaraf dengan negara maju lain dan tidak keterlaluan jika dinyatakan, TVET menjadi kunci kepada kemajuan negara pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pertukaran Dokumen Usahasama Di antara Institusi TVET KKDW Bersama Rakan Industri di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang dan Ketua Setiausaha kementerin itu, Datuk Seri Ramlan Harun.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pemerkasaan pendidikan TVET dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran berupaya menjadi faktor menarik pelaburan asing ke Malaysia.

Beliau menjelaskan, usaha itu mampu direalisasikan jika mendapat sokongan penuh daripada pihak industri sekali gus berupaya memastikan kemampanan ekonomi negara berkembang dengan baik.

“Pelabur asing memilih negara ini sebagai destinasi pelaburan kerana dasar kerajaan yang sentiasa menyokong pembangunan industri dan perniagaan, dasar pelaburan yang fleksibel dan relevan, kadar pertumbuhan ekonomi positif dan kemudahan infrastruktur yang baik.

“Sebab itu, saya melihat pendidikan TVET menjadi pemacu utama dalam usaha kerajaan melahirkan tenaga mahir tempatan yang mempunyai kemahiran tinggi, sekali gus mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga kerja asing,” katanya.

Terdahulu beliau menyaksikan pertukaran dokumen di antara institusi TVET di bawah KKDW membabitkan GIATMARA, Institut Kemahiran Tinggi PERDA, Institut Kemahiran MARA, Kolej Kemahiran Tinggi MARA dan Universiti Kuala Lumpur dengan 18 syarikat rakan industri.

Syarikat itu antaranya membabitkan German Auto Garage Sdn Bhd, Malaysia Rail Link Sdn Bhd, Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS), Acson Malaysia Sales & Service Sdn Bhd, Petronas, Hino Motors Sales (Malaysia) Sdn Bhd, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Hartasuma Sdn Bhd bagi bidang teknologi darat.

Bagi bidang teknologi laut pula ia membabitkan syarijat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd, Vale Malaysia Minerals Sdn Bhd dan Radimax Group Sdn Bhd.

Bagi bidang teknologi udara, kerjasama strategik itu membabitkan Turkish Aerospace Inc, Galaxy Aerospace (M) Sdn Bhd dan Hammock Helicopter Sdn Bhd.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon